Wakil BN Mohamad Alamin secara rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemenang bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.
Mohamad mengalahkan lawannya Karim Bujang dari Warisan dengan majoriti 2,029 undi.
Mohamad berhasil memperoleh 12,706 undi berbanding Karim 10,677 undi. Terdapat 320 undi yang ditolak.
Jumlah keluar mengundi adalah 79.92 peratus, yang merupakan paling tinggi untuk 10 PRK yang diadakan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Kemenangan Mohamad bermakna kerusi parlimen Kimanis kekal bersama BN.
BN memenangi Kimanis pada pilihan raya umum lepas tetapi penyandangnya Anifah Aman keluar Umno pada September 2018.
PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah atas dasar bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa itu gagal mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya.
Dalam PRU lepas, Anifah, yang mewakili BN, menang dengan majoriti 156 undi, dengan memperoleh 11,942 undi. Karim, yang turut bertanding ketika itu meraih 11,786 undi. Calon ketiga, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah meraih 1,300 undi.
Anifah, yang sudah keluar Umno, tidak bertanding dalam PRK ini namun memberikan sokongan dan berkempen untuk BN.
Malaysiakini
0 Comments