AMK Sabah - Kegagalan Kerajaan, Amaran Rakyat Kini Hingga Ke Borneo


Pada 16 November lalu kerajaan telah menerima tamparan hebat dari rakyat apabila calon Pakatan Harapan mengalami kekalahan yang amat teruk pada Pilihanraya Kecil Tanjung Piai, Johor Kerusi yang disandang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum ini menang dengan majoriti 524 undi menerima kekalahan yang amat memalukan setelah tewas dengan majoriti 15,086 undi.

Hari ini sekali lagi kerajaan menerima tamparan hebat pada Pilihanraya Kecil Kimanis di Sabah apabila calon WARISAN, Datuk Karim Bujang mengalami kekalahan teruk dengan majoriti 2,029 undi berbanding kekalahan tipis sebanyak 156 undi pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

Kegagalan kerajaan melaksanakan manifesto serta melanggar janji kepada rakyat antara faktor utama penolakan rakyat selain kurangnya pemahaman rakyat terhadap isu Pas Sementara Sabah (PSS).

Walau pelbagai tawaran serta peruntukan membanjiri Kimanis sepanjang tempoh berkempen namun rakyat kini lebih peka terhadap isu yang lebih besar iaitu ekonomi serta kegagalan kerajaan menunaikan janji yang mereka janjikan pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

Melalui tinjauan yang kami lakukan sebelum hari pencalonan kebanyakan masyarakat Kimanis telah menyatakan sejak awal akan menolak WARISAN kerana selain kegagalan dalam pentadbiran, amalan kronisma serta sikap sombong dan angkuh sesetengah pemimpin menyebabkan rakyat 'tawar hati' untuk memberikan undi kepada WARISAN walaupun ada antara individu yang menyatakan berkenaan merupakan penyokong WARISAN.

Ada antara mereka yang kami temui tidak yakin kerajaan mampu melaksanakan janji apatah lagi isu peralihan kuasa yang dilihat semakin kabur sehingga ada mengandaikan jika janji terhadap rakan pakatan sendiri tidak mampu dilaksana, apatah lagi janji kepada rakyat.

Saya menggesa kerajaan memulakan reformasi sistem dan pentadbiran dalam negara dengan kadar segera bermula dengan peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr.Mahathir kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan dalam menunaikan janji termasuk janji peralihan kuasa yang dilihat masih kabur. Kerajaan hari ini perlu ingat rakyat sudah sedar akan kuasa mereka untuk menentukan kerajaan dan apa yang berlaku di Kimanis merupakan gelombang kebangkitan rakyat dalam skala besar bagi menyedarkan kerajaan negeri dan persekutuan akan janji-janji yang telah dibuat.

Pimpinan Pakatan Harapan juga perlu ingat jika tuntutan rakyat tidak dilaksana segera dikhuatiri perkara ini akan memberi kesan terhadap prestasi Pakatan Harapan pada Pilihanraya Negeri Sarawak yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Razeef Rakimin
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sabah
Merangkap Setiausaha
Pemuda Pakatan Harapan Sabah

Post a Comment

0 Comments