Menurut Ketua Penyelidiknya, Dr. Mohd Yusri Ibrahim, daripada pemerhatiannya, Warisan memiliki kelebihan dengan kecenderungan pengundi terhadap parti itu yang berstatus parti pemerintah dan parti lokal Sabah.
Namun, katanya, parti itu berhadapan dengan isu PSS yang bergerak umpama bola salji yang makin membesar sehingga menghampiri hari pembuangan undi.
Kata beliau, Barisan Nasional (BN) yang dibantu oleh beberapa NGO tempatan memanfaatkan sepenuhnya isu itu untuk membentuk gelombang protes dan penolakan terhadap parti Warisan.
BN berjaya mengheret isu ini hingga ke hari pengundian, sentimen penolakan terhadap PSS begitu hangat di pusat pembuangan undi, termasuk menjadi bahan untuk petugas BN merayu undi.
Walaupun memiliki kelebihan di pertengahan kempen, Warisan tersungkur pada hari penentuan apabila gagal menangani kebimbangan dan ketakutan pengundi terhadap pelaksanaan PSS ini.
Hari terakhir penyelidik Ilham Centre berada di lapangan iaitu pada 14 Januari lalu, kami mengesan lapan peratus pemilih mengundi Warisan dalam PRU14 bersedia memberi undi kepada BN dalam PRK ini kerana memprotes isu PSS, katanya dalam status yang dimuatnaik meneruai akaun Facebooknya, malam tadi.
Dalam PRK semalam, calon BN, Datuk Mohamad Alamin yang mendapat 12,706 undi, menang dengan majoriti 2,029 menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,677.
Keputusan itu menjadikan BN memperolehi kemenangan kelima selepas Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.
Jumlah majoriti itu meningkat berbanding 156 dimenangi Datuk Seri Anifah Aman pada PRU14 yang ketika itu bertanding atas tiket BN.
Menurut Dr. Mohd Yusri, bersandarkan data semasa menunjukkan Warisan masih mendahului, pihaknya meramalkan parti itu mempunyai kelebihan untuk memenangi pertembungan itu.
Namun, pada masa sama menjangkakan kelebihan itu akan dirampas sekiranya Warisan gagal menangani isu PSS yang membesar umpama bola salji menuju hari pengundian.
Ujar beliau, situasi itu benar-benar berlaku dengan gelombang PSS tidak dapat dibendung oleh Warisan menyebabkan parti diterajui Datuk Seri Shafie Apdal itu tewas dengan majoriti lebih besar kepada BN yang meneruskan rentak kemenangan beberapa siri PRK sebelum ini.
Pengundi Kimanis telah memberi isyarat jelas menolak Warisan dengan memilih BN, pilihan mereka perlu dihormati, suara rakyat suara keramat dan Kemenangan ini memberi momentum besar kepada BN menuju PRU15 nanti.
Setelah Semenanjung dan Sabah, BN hanya perlu berkira-kira menyusun strategi untuk bertapak semula di Sarawak bagi melengkapkan seluruh puzzle mereka.
Pakatan Harapan (PH) yang sedang demam teruk memerlukan ‘turning point’ untuk memulihkan kembali sokongan rakyat kepada mereka, tetapi sehingga hari ini belum kelihatan tanda-tanda ‘feel good’ yang boleh mengembalikan sokongan yang mereka perolehi dalam PRU14 lepas
MalaysiaGazette
0 Comments