Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan dan bekas pengerusi Felda Shahrir Ab Samad dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, masing-masing RM2 juta dan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ahmad, 54, dan Shahrir, 71, yang sedondon bersut hitam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad dan Azura Alwi.

Ahmad juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu sama.


Pertuduhan Ahmad Maslan

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ahmad Maslan dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang telah diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013, yang mana cek itu telah ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh telah memberi penyataan-penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di Kuala Lumpur antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.


Ahmad Maslan dituduh memberi penyataan-penyataan seperti berikut:

  1. Saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa bayaran berbentuk cek atau tunai berjumlah RM2 juta daripada Najib.
  2. Saya sahkan tidak pernah melihat cek yang ditunjukkan kepada saya sebelum ini. 
  3. Saya juga sahkan tidak pernah menerima cek ini daripada Najib atau daripada sesiapa. 
  4. Saya sahkan tidak pernah tunaikan cek itu di mana-mana bank untuk diri saya.
  5. Saya tidak tahu mengenainya dan tidak pernah tunaikan apa-apa cek milik Najib.
  6. Saya tidak tahu kerana tidak terima apa-apa dana daripada Najib.
  7. Saya tahu tetapi saya tidak menerima apa-apa dana daripada Najib seperti cek berkaitan.


Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pertuduhan Shahrir Ahmad

Sementara itu, Shahrir dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013.

Cek itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Shahrir dituduh melakukan kesalahan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April, 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman sama.


Pendakwaan

Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol dan Nik Haslinie Hashim yang mengendalikan kedua-dua kes menawarkan jaminan RM1juta dengan seorang penjamin kepada Ahmad dan RM500,000 kepada Shahrir kerana kesalahan dilakukan oleh kedua-dua tertuduh adalah serius.

"Sekiranya jaminan rendah diberikan, ianya akan membina satu persepsi kepada masyarakat yang menyebabkan sistem kehakiman dipandang rendah oleh orang awam," kata Norzilati Izhani yang turut memohon supaya pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad berkata jumlah jaminan RM1 juta ditawarkan pendakwaan adalah terlalu tinggi dan tidak wajar dikenakan terhadap anak guamnya.

"Anak guam saya adalah Ahli Parlimen sejak 2008 sehingga sekarang dan tiada kemungkinan untuk beliau melarikan diri kerana pasportnya akan diserahkan kepada mahkamah," katanya yang turut memaklumkan anak guamnya datang ke mahkamah secara sukarela selepas dibebaskan oleh SPRM semalam.

Hamidi turut dibantu barisan peguam iaitu Md Yunos Shariff, Mohd Shahrul Fazli, Aiman Abdul Rahman, Azlan Abd Roni dan Mohd Shahril Madisa.

Shahrir yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin, Fahmi Abd Moin dan Datuk Shaharudin Ali merayu jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh adalah seorang pesara.

“Kami bersetuju menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ia dapat mengurangkan jaminan itu kerana tertuduh terpaksa menggunakan duit simpanan hasil duit pencen bagi membayar jaminan itu nanti.

"Saya merayu jumlah jaminan yang rendah dapat diberikan kerana ia haruslah menepati tujuan sebenar ditetapkan,” kata Syahrul Syazwan.

Mahkamah membenarkan Ahmad dan Shahrir, masing-masing diikat jamin RM500,000 dan RM350,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Feb dan 24 Feb ini untuk sebutan kes.

Malaysiakini