Malaysiakini melaporkan terdapat seorang kanak-kanak yang disyaki mempunyai coronorvirus telah dilarikan keluar dari Hospital di Johor. Ibubapa kanak-kanak warga China tersebut enggan mengikuti nasihat doktor supaya anak mereka dikuarantinkan. Saya berharap agar kerajaan mengambil langkah menyekat terus kemasukan warga China dalam tempoh berjaga-jaga ini.
Beberapa negara dilihat mengambil tindakan tegas bagi mengekang penularan wabak coronarvirus yang sedang melanda China. Filipina dilaporkan menghantar pulang hampir 500 pelancong China yang mendarat di Kalibu (CNNPhilippines). The Jakarta Post pula mengesahkan bahawa pihak berkuasa Indonesia membatalkan semua penerbangan yang berasal dari Wuhan.
Kerajaan Hong Kong pula mengisytiharkan darurat dalam menangani isu ini. Semua sekolah ditutup manakala laluan masuk melalui keretapi dan penerbangan dari Wuhan disekat dari semasa ke semasa (Harian Metro). Rusia turut mengenakan tindakan yang sama. The Moscow Times melaporkan bagaimana penerbangan dari Wuhan ke Rusia ditangguhkan bagi mengekang penularan wabak ini.
Pada hakikatnya tindakan ini selaras dengan hadith Nabi. Rasulullah pernah menyarankan agar jangan memasuki kawasan yang ditimpa wabak dan orang yang berada di dalam kawasan wabak tersebut dilarang meninggalkan tempat tersebut. Ini bertujuan bagi mengekang penularan dan kebinasaan.
al-Imam al-Bukhari merekodkan riwayat berkenaan Saidina Umar yang bermusafir ke negeri Syam. Beliau kemudian dimaklumkan tentang wabak penyakit yang menimpa tempat yang dituju tersebut. Salah seorang sahabat bernama Abdul Rahman ibn Auf menasihatkan:
إن عندي في هذا علما سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «إذا سمعتم به في أرض فلا تقدموا عليها، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه».
“Sesungguhnya aku mempunyai ilmu tentang perkara ini. Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Sekiranya kamu mendengar tentang sesuatu wabak di satu tempat maka janganlah kamu memasukinya, manakala sekiranya wabak tersebut telah melanda sesuatu tempat, jangan pula kamu meninggalkan tempat tersebut (bagi mengawal penularan).”
Mendengar nasihat Abdul Rahman ibn Auf ini, Saidina Umar memuji Allah kerana keputusan yang beliau buat selari dengan hadith Nabi iaitu menghentikan hasrat untuk meneruskan perjalanan ke tempat yang ditimpa wabak tersebut.
Ketika menghuraikan hadith ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa tidak seharusnya bagi Muslim mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan. Setiap langkah mesti diambil bagi mememlihara nyawa setiap kita. Ini selaras dengan firman Allah:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
“Dan janganlah kamu menghumbankan diri kamu dengan tanganmu sendiri kepada kebinasaan.”
Terkini, menurut Menteri Kesihatan, tiga pelancong China didapati positif coronarvirus sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh. Perkembangan ini amat membimbangkan, ia memberikan seribu satu kemungkinan yang boleh berlaku pada negara ini.
Tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan Filipina, Indonesia, Hong Kong dan Rusia boleh dijadikan iktibar betapa menjaga nyawa rakyat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Tidak timbul isu diskriminasi warga China untuk datang ke Malaysia.
Malah menurut The Telegraph UK, kerajaan China sendiri menyekat hampir 20 juta penduduk Wuhan dari berhubung dengan bandar lain. Ini tidak bukan bagi menjaga keselamatan jiwa manusia. Andai sekiranya China sendiri menyekat rakyatnya dari berhubung dengan bandar lain, mengapa tidak kita juga mengambil tindakan yang sama?
Dr Sanusi
Semoga Allah memelihara Malaysia.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
0 Comments