Penyiaran rakaman perbualan telefon antara dua puluh individu berhubung dakwaan konspirasi pecah amanah, salah guna kuasa, serta pemalsuan bahan bukti didakwa termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dilihat tidak beretika dan dikesali.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, yang juga Pengerusi Biro Guaman DAP, Ramkarpal Singh berkata, beliau secara peribadi menganggap tindakan itu tidak berpelembagaan, dan tidak boleh disokong kerana ia jelas mencerobohi hak asasi manusia.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Ramkarpal berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia hanya akan mengakibatkan perbicaraan oleh media mengenai individu yang dikaitkan dalam siri perbualan telefon itu.
Jelasnya lagi, memang semua pihak ingin mengetahui sama ada benar atau tidak apa yang diperkatakan dalam perbualan itu, atau sama ada individu berkenaan benar-benar melakukan sebarang elemen jenayah,
Namun, Ramkarpal berkata, itu semua adalah tugas hakiki mahkamah, bukan media atau mana-mana agensi yang bertanggungjawab melakukan siasatan.
Sama ada benar atau tidak ada elemen jenayah, katanya lagi, ia bergantung kepada siasatan SPRM atau Polis Diraja Malaysia dan seterusnya dibentangkan segala bukti berkenaan kepada mahkamah.
Ramkarpal berkata, jika penyiaran bahan bukti ini berterusan, beliau khuatir masyarakat akan melihat yang tertuduh terus dibicara melalui sidang media, bukan mahkamah perundangan.
Dalam sidang media SPRM pada Rabu, Latheefa memberi menegaskan pendedahan berkenaan dibuat demi kepentingan awam.
Astro Awani
0 Comments