AirAsia Rugi RM303.72 Juta!

AirAsia Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM 303.72 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019 berbanding dengan keuntungan bersih berjumlah RM 1.97 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut syarikat penerbangan itu, jumlah kunci kira-kira yang agak lemah walaupun merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 17 peratus kepada RM12.45 bilion, adalah disebabkan oleh perkiraan perakaunan membabitkan pemilikan pesawat yang disusun semula, daripada pemilikan kepada penyewaan pesawat, walaupun merekodkan aliran keluar tunai yang sama dalam kaedah pembiayaan.

Kumpulan itu turut melaporkan kerugian operasi bersih sebanyak RM457.08 juta bagi tahun tersebut. "Bagaimanapun, selepas melaraskan item utama sekali sahaja, tahun kewangan 2019 akan mencerminkan keuntungan operasi bersih berjumlah RM56.3 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Penggunaan Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 telah mengurangkan keuntungan operasi bersih sebanyak RM130.9 juta manakala perkiraan perakaunan membabitkan MFRS 137 telah membawa kepada lonjakan 43 peratus dalam kos penyelenggaraan serta baik pulih.

Kunci kira-kira syarikat penerbangan ini sebahagiannya telah terjejas akibat penyusutan nilai bagi aset guna sebanyak RM1.76 billion dan kos kewangan (tanggungan penyewaan) berjumlah RM505.87 juta berikutan pemakaian MFRS 16.

Di samping itu, prestasi tahun sebelumnya mendapat manfaat daripada hasil tambahan sebanyak RM 534.7 juta dan keuntungan daripada pelupusan pelaburan dalam bekas subsidiari berjumlah RM350.32 juta berikutan langkah pertukaran saham.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2019, pendapatan Kumpulan AirAsia menokok sebanyak 19 peratus kepada RM3.36 bilion daripada RM2.82 bilion sebelum ini, didorong oleh 11 peratus dari tahun ke tahun dalam kapasiti tambahan termasuk kenaikan hasil sebanyak sembilan peratus bagi setiap tempat duduk tersedia setiap kilometer (RASK).

Kerugian bersih dalam suku berkenaan menurun kepada RM384.48 juta daripada RM394.97 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Permintaan untuk penerbangan terus mengukuh memandangkan kami telah membawa tambahan sembilan peratus penumpang dari tahun ke tahun. Pendapatan sampingan suku keempat 2019 juga menokok 16 peratus dari tahun ke tahun kepada RM732 juta, dengan perolehan sampingan di luar syarikat penerbangan naik sehingga 105 peratus," katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments