Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang susulan pemecatannya daripada parti yang didakwa tidak mengikut prosedur.
Menurutnya, pemecatan itu menyalahi Perlembagaan UMNO kerana prosedur sepatutnya perlu dibawa kepada Lembaga Disiplin parti terlebih dahulu selain dirinya perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri.
Bagaimanapun katanya, disebabkan terdapat satu klausa dalam UMNO yang mengatakan keputusan MKT adalah muktamad, maka pihak terlibat berkuasa memecat beliau tanpa perlu merujuk kepada Lembaga Disiplin.
"Cuma apa yang berlaku ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (Hamidi) mengatakan saya dicadangkan oleh Biro Politik untuk dipecat dan meminta supaya ahli MKT memilih sama ada untuk memecat atau menggantung saya, yang mengundi termasuklah pengerusi-pengerusi perhubungan UMNO negeri yang tidak ada kuasa mengundi.
"Rata-rata pengerusi perhubungan UMNO negeri juga adalah lantikan dan bukan MKT UMNO," katanya kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, disebabkan itu, parti sebenarnya sudah membuat satu kesalahan dari sudut Perlembagaan UMNO.
"Saya akan bincang dengan peguam sama ada akan ambil tindakan undang-undang atau tidak tetapi buat masa ini belum ada hajat mahu panjangkan cerita ini," katanya.
Semalam, Lokman dipecat daripada parti susulan pendedahannya sebelum ini mendakwa wujud gerakan bagi menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.
Sementara itu, ahli MKT, Datuk Dr Puad Zarkashi menerusi Facebooknya turut mendakwa Lokman dipecat daripada UMNO tanpa mengikut saluran yang betul apabila keputusan itu dibuat MKT atas syor Biro Politik bukan Lembaga Disiplin parti itu.
Dalam perkembangan lain, mengulas berhubung perancangan selepas dipecat, Lokman berkata, beliau akan melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu iaitu Laskar Siber Malaysia serta bertindak sebagai presiden.
"Saya akan teruskan usaha untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap kepincangan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya pemimpin mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Segala usaha ini kita akan perhebatkan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube, aplikasi Telegram dan sebagainya," katanya.
SinarHarian
0 Comments