Kan Haritu JAKIM Dah Check, Keluar Jela Keputusan Rasmi

Seorang peguam menggesa Putrajaya memulakan perbincangan bagi menjelaskan keadaan mengenai individu yang telah menjalani pembedahan menukar jantina.

Peguam hak asasi, Fahri Azzat berkata, perbincangan tersebut perlu melibatkan ulama dan pakar dalam bidang undang-undang, perubatan, psikologi dan sosiologi.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, wujud keperluan dalam konteks dasar rasmi dan orang awam di Malaysia untuk keluar dari “wilayah kelabu” yang menyelubungi mereka berhubung status individu yang menjalani pembedahan menukar jantina.

Beliau juga percaya tidak ada gunanya memaksa seseorang supaya kekal dalam jantina tertentu sekiranya individu terbabit enggan mematuhi jangkaan atau peraturan yang menghendakinya berbuat demikian.

Fahri memberi respons terhadap kontroversi yang dicetuskan oleh Nur Sajat yang memakai pakaian wanita di Mekah. Beliau memuat naik rakaman videonya berbuat demikian di internet.

Nur Sajat, yang mengaku wanita, merupakan seorang usahawan kosmetik bernama Muhammad Sajad Kamaruzzaman di MyKadnya. Beliau menggunakan identiti lelaki ketika memasuki Arab Saudi.

Fahri berkata, golongan transgender tidak patut dihina atau disisihkan, selain menambah bahawa beliau berharap akan terhasil “keputusan praktikal” daripada perbincangan yang dicadangkan.

“Kita hadapi masalah ini dan kita perlu tahu bagaimana kita dapat menerima golongan trangender dalam masyarakat,” katanya.

Lim Wei Jiet, peguam dari Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) menggesa pengiktirafan rasmi ke atas pembedahan menukar jantina.

Beliau berkata, dokumen rasmi harus mencatatkan jantina baru individu yang menjalani pembedahan sedemikian.

Seorang lagi peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, orang Islam di Malaysia yang mahu mendapatkan pengiktirafan rasmi berhubung pertukaran jantina adalah tertakluk kepada undang-undang Islam.

“Sama Nur Sajat wanita atau lelaki tertakluk kepada undang-undang Islam,” katanya. “Ia bukan mengikut kehendak diri beliau.”

Beliau berkata, isu itu telah dibincangkan secara mendalam dalam undang-undang Islam.

Haniff juga berkata, pihak berkuasa Arab Saudi memberitahu Tabung Haji bahawa mana-mana orang yang mahu menunaikan haji atau umrah mestilah sama ada seorang lelaki atau wanita.

Beliau berkata, pendirian Saudi itu menunjukkan golongan transgender tidak dikehendaki menunaikan ibadat itu.

FMT

Post a Comment

0 Comments