Kerajaan Negeri Perak, Melaka, Kedah & Johor Mungkin Tergugat


Sekurang-kurangnya tiga kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan akan runtuh apabila mengambil kira gabungan baru yang dipimpin MP Gombak Azmin Ali melibatkan anggota parlimen daripada PKR, Bersatu, BN, PAS, Warisan dan GPS.

Kerajaan negeri yang berisiko ialah Perak, Melaka dan Kedah. Johor juga bakal menyaksikan DUN tergantung.

Kerajaan pimpinan Warisan akan mengekalkan Sabah tetapi DAP dan PKR akan disingkir daripada gabungan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan mungkin akan mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor.

Di Perak, pada masa ini, PH mempunyai 30 kerusi, terdiri daripada 18 DAP, enam Amanah, empat PKR dan dua Bersatu.

Pada ketika ini, pembangkang mempunyai 28 kerusi, 25 daripada Umno dan tiga PAS serta terdapat juga seorang Adun bebas.

Apabila sokongan Bersatu beralih daripada PH, maka Umno, PAS dan Bersatu akan secara kolektif mengawal 30 kerusi daripada 58 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak sehingga membentuk kerajaan baru dengan majoriti dua kerusi.

Di Melaka pula, PH mempunyai 15 Adun yang terdiri daripada lapan wakil DAP, tiga wakil PKR dan dua lagi Bersatu dan Amanah.

Pembangkang di negeri ini memiliki 13 kerusi DUN, semuanya daripada Umno.

Sekiranya Adun Bersatu menukar sokongannya, keadaan akan sama dengan Perak, di mana Umno dan Bersatu boleh membentuk kerajaan majoriti dua kerusi kerana gabungan itu bakal mengawal 15 daripada 28 kerusi dewan undangan negeri.

Di Kedah, gabungan PH sekarang mempunyai 19 kerusi DUN yang terdiri daripada tujuh wakil PKR, enam wakil Bersatu, empat wakil Amanah dan dua wakil DAP.

Ini berlawanan dengan pembangkang yang mempunyai 17 kerusi, terdiri daripada 15 wakil PAS dan dua wakil Umno.

Bagaimanapun, jika Bersatu menukar sokongannya, pakatan baru itu akan mengawal 23 daripada 36 kerusi DUN, cuma satu kerusi saja lagi bagi mencapai majoriti dua pertiga.

Sementara itu, di Johor, situasi DUN boleh tergantung.

Pada masa ini, PH mempunyai 39 kerusi daripada 56 Anggota Dewan Undangan Negeri Johor yang terdiri daripada 14 wakil DAP, 11 wakil Bersatu, sembilan wakil Amanah dan lima wakil PKR.

Pembangkang mempunyai 17 kerusi yang terdiri daripada 14 wakil Umno, dua wakil MIC dan satu wakil PAS.

Peralihan sokongan Bersatu boleh menyebabkan kedua-dua PH dan gabungan baru tersebut menguasai 28 kerusi masing-masing, membawa kepada DUN yang digantung.

Tidak jelas jika MP Gombak Azmin Ali mendapat sokongan daripada lima Adun PKR di Johor. Beliau cuma memerlukan seorang sahaja Adun PKR untuk berpaling tadah dan kerajaan negeri akan runtuh.

Di Negeri Sembilan, PH berada dalam kedudukan yang lebih selesa kerana Bersatu tidak menyumbang mana-mana 20 kerusi yang dikuasainya dalam DUN.

Wakil PH di negeri itu terdiri daripada 11 kerusi DAP, enam wakil PKR dan tiga wakil Amanah.

Pembangkang mempunyai 16 kerusi dengan 15 wakil Umno, manakala satu wakil MIC.

Bagaimanapun, sama seperti situasi di Johor, kelangsungan kerajaan PH di Negeri Sembilan juga bergantung terhadap Adun PKR supaya tidak berpaling tadah kepada Azmin.

Tiga Adun berpaling tadah akan mencukupi untuk meruntuhkan kerajaan PH di Negeri Sembilan.

Di Selangor, pangkalan kuasa PKR, PH menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN.

Gabungan parti pemerintah negeri ini terdiri daripada PKR dengan 21 kerusi, 16 wakil DAP, lapan wakil Amanah dan lima wakil Bersatu.

Terdapat enam kerusi pembangkang yang terdiri daripada lima wakil Umno dan satu wakil PAS.

Kerajaan PH di Selangor agak selamat walaupun Bersatu mengalih sokongannya. Jika gabungan Umno-PAS-Bersatu tersebut dibentuk di negeri itu, ia cuma dapat mengawal 11 daripada 56 kerusi.

Malah jika sejumlah besar Adun PKR yang menyokong Azmin berpaling tadah sekalipun, gabungan itu mungkin dapat bertahan di Selangor.

Ini kerana DAP dan Amanah sudah mengawal hampir 43 peratus daripada kerusi DUN dan hanya memerlukan lima Adun PKR untuk mengekalkan kerajaan negeri.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkemungkinan dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya lima orang Adun yang setia kepada daripada wakil rakyat PKR di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Sumber parti juga membayangkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari, sekutu Azmin, belum lagi berhasrat untuk meninggalkan PH buat masa ini.

Di Pulau Pinang, kerajaan negeri PH kekal dalam kedudukan yang selesa tanpa mengira jika gabungan baru dibentuk.

Ini kerana DAP dan Amanah sahaja mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Oleh itu walaupun semua anggota PKR berpaling tadah, tidak banyak perubahan yang berlaku. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak mungkin berlaku kerana tidak semua Adun PKR sejajar dengan gabungan pimpinan Azmin.

Pada masa ini, gabungan parti pemerintah di negeri itu mempunyai 37 kerusi, terdiri daripada 19 Adun DAP, 14 wakil PKR, dua wakil Amanah dan dua wakil Bersatu.

Pembangkang mempunyai tiga kerusi DUN, iaitu dua daripada Umno dan satu wakil PAS.

Di Sabah, kerajaan negeri diketuai oleh Warisan dan PH cuma sekadar rakan kongsi kecil.

Oleh itu jika Warisan menyertai gabungan baru, apa yang perlu dilakukannya adalah dengan menyingkirkan PH daripada kerajaan negeri dan meneruskan urusan pentadbiran seperti biasa

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments