Tahan, Sita Lepastu Jual Lelong.. Untung Atas Angin...

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berjaya mengutip sebanyak RM873,150 hanya dalam tempoh lima jam hasil lelongan kenderaan sita sempena Lelongan Awam Siri 1/2020, di Kompleks JPJ Pahang, Indera Mahkota di sini semalam.

Program lelongan itu mendapat sambutan apabila kesemua 77 kenderaan sita termasuk 53 kenderaan klon berjaya dilelong dalam tempoh tersebut melibatkan 36 kereta, 20 motosikal, kenderaan pelbagai guna (16), lori (dua), jip (dua) dan van (satu).

Pemangku Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir berkata, Honda Odyssey mencatat bidaan tertinggi pada harga RM37,100 manakala bidaan terendah melibatkan sebuah motosikal yang dibida pada harga RM1,000.

"Pada siri lelongan awam ini, empat kenderaan klon menjadi tarikan pembida iaitu sebuah Honda Odyssey, Subaru Impreza, Mazda MXS dan Volkswagen Beetle," katanya di sini.

Menurutnya, sebanyak 237 dokumen lelong dijual dalam tempoh 16 hari sejak dibuka untuk jualan bermula 3 Februari lalu dan jumlah pembida hadir seramai 149 orang.

Katanya, daripada kesemua 77 kenderaan yang dilelong itu, sebanyak 53 daripadanya merupakan kenderaan klon dan 18 kenderaan skrap yang tidak boleh dilesenkan.

Sementara itu Nazili berkata, jumlah kenderaan dilelong meningkat berbanding tahun lalu apabila hanya 35 kenderaan sita dilelong melibatkan 22 kereta, lapan motosikal, lori (empat) dan van (satu) dengan kehadiran 81 pembida.

Menurutnya, jumlah kenderaan sita di JPJ Pahang sehingga Disember tahun lalu pula berjumlah 555 buah.

“Daripada jumlah itu, 335 merupakan kenderaan klon, 220 kenderaan sita atas lain-lain kesalahan termasuk tiada cukai jalan dan nombor casis diganggu, 39 kenderaan kerana kes jenayah manakala 15 buah kenderaan disita sebelum 2011,” katanya.

SinarHarian

Post a Comment

0 Comments