Tun Mahathir - Nasib Penentu Anwar PM, Bergantung Pada Dewan Rakyat

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, tetapi menambah keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.

Mahathir juga berkata, jika seorang calon itu daripada parti yang memiliki majoriti tetapi dia sendiri tidak mendapat sokongan majoriti, maka dia tidak akan dapat menjadi perdana menteri.

"Kita berjanji, kita berpegang kepada janji. Saya cuma jadi perdana menteri kerana dapat sokongan dari parti (gabungan PH) saya, terutama dari majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Kalau saya tidak hendak letak jawatan tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh. Yang berkuasa sebenarnya Dewan Rakyat dan ahli-ahlinya," katanya ketika wawancara bersama laman The Malaya Post.

Justeru, Mahathir berkata Dewan Rakyat yang menentukan nasibnya dan juga nasib mana-mana calon perdana menteri.

"Parti adlaah satu bahagian (aspek) tetapi parti itu harus parti majoriti. Tetapi kalau pun ia parti majoriti tetapi calon (dari parti itu) ditolak Dewan Rakyat, dia pun tak boleh jadi perdana menteri," katanya lagi.

Pada masa ini, PKR adalah parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 47 anggota parlimen, dsusuli dengan DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11). Sekutu PH iaitu Warisan memiliki sembilan anggota parlimen.

Bagaimanapun perseteruan dalaman antara Anwar dengan timablannya Mohamed Azmin Ali membangkitkan persoalan sama ada anggota parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan daripada kesemua 47 anggota parlimen partinya.

PAS dan sesetengah pihak dalam Umno juga membayangkan mereka akan menyokong Mahathir berbanding Anwar.

Ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk menjadi perdana menteri sehingga tamat penggal jika sokongannya di Dewan Rakyat meningkat, Mahathir hanya tersenyum dan berkata, "Tak tahulah."

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments