KKM Sahkan Wabak Tibi di Kota Tinggi, 33 Kes Positif Dikesan Hasil Saringan Kontak Rapat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlakunya satu kluster wabak Tuberkulosis (Tibi) di daerah Kota Tinggi, Johor, hasil pengesanan aktif yang sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Menurut kenyataan media rasmi KKM, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi telah mengesan 33 kes positif Tibi daripada 804 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat, melibatkan satu lokaliti di daerah berkenaan. Kesemua pesakit yang disahkan positif telah menerima rawatan sewajarnya dan kini berada di bawah pemantauan rapi pihak kesihatan di fasiliti berhampiran.

KKM turut memaklumkan bahawa satu kematian dilaporkan dalam kluster ini, namun menegaskan bahawa kematian tersebut bukan disebabkan oleh penyakit Tibi. Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

Pasukan kesihatan dari KKM kini berada di lapangan dan melaksanakan tindakan agresif bagi membendung penularan wabak, termasuk aktiviti Active Case Detection (ACD) serta saringan bersasar terhadap penduduk setempat.

Tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai kontak rapat. 

Antara gejala utama termasuk : 
  • batuk berpanjangan, 
  • demam, 
  • berpeluh pada waktu malam, 
  • penurunan berat badan dan 
  • batuk berdarah. 
Penyakit ini boleh dicegah dan disembuhkan sepenuhnya jika rawatan diambil secara konsisten, dengan tempoh rawatan minimum selama enam bulan.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan terlibat atau sekitarnya, khususnya mereka yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan atau berpeluh malam, supaya segera menjalani saringan kesihatan di klinik atau fasiliti kesihatan terdekat.

KKM menegaskan bahawa situasi semasa berada dalam kawalan dan orang ramai diminta untuk kekal tenang, berwaspada serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa kesihatan demi keselamatan komuniti.



Post a Comment

0 Comments