“Jika ada lagi pemimpin seperti ini, dipersilakan keluar,” demikian penegasan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berlaku kemelut politik yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin serta beberapa pemimpin PKR yang bertindak keluar daripada parti itu untuk berkerjasama dengan gabungan Muafakat Nasional pada 24 Februari lalu.
Turut serta dalam gabungan baharu itu beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan.
Anwar dalam kenyataan melalui laman media sosialnya berkata demikian semasa memberi penjelasan kepada pimpinan Pakatan Harapan semalam (Isnin) mengenai apa yang berlaku sepanjang konflik politik bermula 23 Februari lalu.
“Apa yang berlaku, pasukan ini akan terus kekal bersama dan bina kekuatan, usah kita panik, namun harus pulihkan semangat.
“Kita mesti kukuh dan bergerak sebagai satu angkatan dan terangkan kepada rakyat berkenaan sanggahan pasukan pengkhianat. Jangan mengalah dan korbankan prinsip.
“Jangan kita biarkan episod pengkhianatan demokrasi ini berlaku lagi. Jika ada lagi pimpinan seperti ini, dipersilakan keluar,” jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Kemelut politik bermula pada 23 Februari lalu apabila beberapa parti politik dalam kerajaan Pakatan Harapan dan pembangkang melakukan mesyuarat serentak di beberapa buah lokasi dan berjumpa di sebuah Hotel disyaki bagi membincangkan mengenai gabungan baharu antara parti politik.
Kemelut itu berlanjutan selama beberapa hari sehingga membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Susulan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.
0 Comments