Kurang sebulan daripada 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan tumbangnya kerajaan PH, senarai kabinet baru kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diumum hari ini menyaksikan semua pemimpin dari kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali menyandang jawatan.
Antaranya merupakan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang dikekalkan memegang jawatannya sebelum ini sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Selain itu, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar, Mansor Othman, Ali Biju, Jonathan Yassin, Willie Mongin dan Santhara Kumar turut membarisi kabinet.
Sementara Azmin sendiri, memegang portfolio menteri kanan, sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Bagaimanapun, hanya timbalan speaker Rashid Hasnon yang tidak diberikan sebarang jawatan menteri.
Untuk rekod, pada 24 Feb, Azmin dan sepuluh anggota parlimen yang menyokongnya mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas di parlimen.
Kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri daripada gabungan parti Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan ahli parlimen kumpulan Azmin itu menampilkan ebih banyak jumlah kementerian iaitu 32 kementerian.
Manakala, enam orang senator akan dilantik untuk memenuhi barisan kabinet itu.
Turut mencuri tumpuan, tiga pemimpin kanan dari PAS berjaya menyandang jawatan menteri iaitu setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Namun, nama presidennya, Abdul Hadi Awang tidak tersenarai dalam barisan kabinet Muhyiddin. Begitu juga dengan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, kabinet baru yang baru diumumkan petang tadi oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperlihatkan anak perempuan kepada Yang di-Pertua Negeri Abdul Taib Mahmud, iaitu Hanifah Taib dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.
Berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 24 Februari, kem Muhyiddin dalam Bersatu bergabung dengan BN, PAS, GPS dan kem Azmin untuk membentuk Perikatan Nasional dan berjaya menggulingkan kerajaan PH.
Selepas lebih seminggu kemelut itu, Muhyiddin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.
0 Comments