Faizal Azumu Ikut Cara Mahathir, Tapi Berjaya



Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik semula Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar negeri yang ketiga belas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor memaklumkan hal berkenaan pada suatu kenyataan hari ini.

"DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berpandukan Perkara 16, Fasal 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan perak, pada timbangan baginda, YB Datuk Seri Faizal Azumu, Adun Chenderiang mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeru untuk dilantik sebagai menteri besar Perak ketiga belas," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri besar akan diadakan di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar Perak pada jam 3.30 petang hari ini.

Ahmad Faizal telah meletak jawatan pada 10 Mac selepas kerajaan PH tumbang di Perak.

Dilaporkan Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan tiga nama calon kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Selain Ahmad Faizal, dua calon lain ialah Pengerusi Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri. Selepas PRU14, PH menguasai 30 kerusi yang terdiri daripada 18 kerusi DAP, Amanah (enam), PKR (empat) dan Bersatu (dua).

Sementara itu, Umno pula mempunyai 25 kerusi, PAS tiga Adun dan satu kerusi dipegang Adun bebas.

Berdasarkan penjajaran baru sekarang selepas PH runtuh, PN kini menguasai 35 kerusi termasuk 25 Umno, PAS (tiga), Bersatu (empat) dan tiga kerusi bebas (yang dipegang oleh bekas anggota DAP dan Amanah).

Hanya 24 kerusi DUN kekal bersama PH.

Post a Comment

0 Comments