Naib presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, berkata walaupun PAS kini berada dalam kerajaan persekutuan, masih ada cabaran lain yang lebih perlu diutamakan dalam masa terdekat.
Kita memang berharap (dilaksanakan), cuma bagi kami perkara ini masih di peringkat terlalu awal. Hari ini baru nak angkat sumpah, masa kita ada pun tidak panjang. Kita ada cabaran besar pada 18 Mei nanti iaitu kemungkinan ada undi tidak percaya di parlimen
Jadi dalam masa dua bulan ini tidak boleh mengharapkan suatu benda yang besar. Kita selesaikan yang asas dulu. Perkara lain mungkin kita boleh bincang selepas ini
Untuk rekod RUU355 adalah satu usul persendirian yang pernah dibawa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355).
Ia bertujuan meningkatkan hukuman mahkamah syariah berhubung kesalahan jenayah.
Melalui cadangan pindaan itu, mahkamah syariah boleh mengenakan hukuman yang lebih tinggi berbanding penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali pada masa ini.
Pindaan itu mencadangkan seorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan sebatan boleh dibuat sehingga 100 kali.
Beberapa pihak menganggap langkah tersebut akan membuka pintu kepada pelaksanaan hukum hudud - satu daripada aspek yang dulu diperjuangkan PAS namun tidak lagi dibangkitkan parti itu ketika ini.
Satu daripada pihak yang menolak cadangan pindaan itu ialah MCA.
Pada 2016, Presiden MCA, Liow Tiong Lai, berkata parti itu menyatakan penolakan mereka kepada usul meminda Akta 355 kerana bercanggah dengan dasar penubuhan negara. Untuk rekod, MCA kini menjadi sebahagian daripada kerajaan yang disertai PAS.
Pengkritik berpendapat usul tersebut sengaja dibawa untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan pembangkang ketika itu.
PAS turut mengadakan himpunan untuk menekankan cadangan meminda Akta 355 itu di Padang Merbok. Ia dihadiri pemimpin kanan Umno dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad, yang kini dilantik menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Usul tersebut hanya dibentangkan di Dewan Rakyat namun perbahasan mengenainya ditangguhkan sehingga kini.
Malaysiakini
0 Comments