MAS Minta Kakitangan Cuti Tanpa Gaji Sukarela & Gantung 1600 Penerbangan


Malaysia Airlines Bhd meminta kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji sukarela sewaktu ia berusaha menangani kesan kewangan wabak Covid-19, lapor The Edge.

Menurut dokumen yang dilihat oleh media tersebut, Malaysia Airlines menawarkan opsyen cuti tanpa gaji selama 3 bulan atau cuti 5 hari tanpa gaji setiap bulan selama 3 bulan bermula 1 Apr depan kepada semua 13,000 kakitangannya.

Program cuti sukarela itu juga ditawarkan kepada kakitangan Malaysia Aviation Group (MAG), termasuk MAB Kargo, MAB Engineering dan MASWings.

Inisiatif sama juga diambil oleh syarikat penerbangan utama dunia termasuk Singapore Airlines, Cathay Pacific dan British Airways.

Terdahulu ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Izham Ismail mengumumkan bahawa pengurusan kanan kumpulan itu bersetuju dikenakan potongan gaji 10% dan melepaskan elaun masing-masing bagi mengurangkan kos operasi.

“Kesan (Covid-19) ke atas pasaran sangat besar. Orang ramai tidak lagi berjalan. Perniagaan tidak beroperasi seperti sepatutnya dan landskap penerbangan telah berubah dengan banyaknya. MAG juga tidak terkecuali,” katanya dalam satu klip video kepada pekerja MAG.

Sehingga kini Malaysia Airlines menggantung lebih 1,600 penerbangan.

FMT

Post a Comment

0 Comments