Agensi pengendali umrah di negara ini menerima kesan amat ketara akibat wabak Covid-19 apabila mengalami pengurangan tempahan mengerjakan umrah hampir 50 peratus.
Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) Malaysia, Mohd Azri Abd Razak, berkata kebiasaannya apabila memasuki bulan Rejab setiap tahun, agensi berkenaan akan menerima puluhan ribu individu ingin menunaikan umrah.
Bagaimanapun, katanya, penularan Covid-19 di beberapa negara di dunia termasuk di Arab Saudi, membuatkan ramai kalangan umat Islam negara ini terpaksa menangguhkan hajat mereka untuk menunaikan umrah.
“Ramai berhajat dan merancang untuk menunaikan umrah khususnya pada bulan Rejab ketika ini terpaksa menangguhkan dulu kerana wabak Covid-19 semakin membimbangkan.
“Malah, kerajaan Arab Saudi sudah membuat keputusan menggantung sementara kemasukan visa pelancong ke negara itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Berikutan situasi itu, agensi umrah tempatan kurang menerima permintaan dan tempahan bagi menunaikan umrah sepanjang bulan ini yang mencecah hampir 50 peratus,” katanya di Seremban, hari ini.
Mohd Azri yang juga Timbalan Pengerusi MATTA Negeri Sembilan berkata, mereka sedang menunggu perkembangan selanjutnya mengenai arahan kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata, pihaknya berharap situasi itu akan pulih secepat mungkin, tambahan pula dengan adanya peraturan baharu bagi warga asing masuk ke Arab Saudi.
“Arahan itu membabitkan polisi tempahan tiket, bagaimanapun bagi jemaah umrah masih menunggu kenyataan Kementerian Arab Saudi untuk dibuka semula sekatan sementara,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah, selain menggantung visa pelancongan dari negara berdepan ancaman Covid-19.
Langkah itu susulan kebimbangan terhadap penularan wabak terbabit yang kini dilaporkan sudah mengorbankan lebih 3,000 orang dan menjangkiti lebih 80,000 orang di China
0 Comments