NFC Menagih Belas Kasihan Kerajaan PN - Hutang RM250 Juta!!

National Feedlot Corporation (NFC) yang terbabit dalam skandal pada tahun 2011 berharap kerajaan akan meluluskan cadangan untuk menyelesaikan hutangnya yang tertunggak.

NFC mencuri tumpuan apabila bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan syarikat membeli hartawan mewah menggunakan RM250 juta pinjaman kerajaan untuk projek ternakan lembu fidlot di Negeri Sembilan.

Syarikat itu dikuasai oleh Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya. Mohamad Salleh merupakan suami kepada bekas Ketua Wanita Umno dan bekas menteri keluarga Shahrizat Abdul Jalil.

Salleh, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya telah membuat cadangan pembayaran balik sejak November 2018 tetapi tidak diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Salleh tidak memperincikan pelan pembayaran balik yang dicadangkan tetapi kerajaan menyaman NFC Jun lalu untuk mendapatkan semula jumlah keseluruhan baki hutang.

"NFCorp amat berharap untuk mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, untuk melangsaikan baki pinjaman RM250 juta NFCorp daripada kerajaan.

"Cadangan penyelesaian ini telah dinyatakan melalui beberapa surat kepada Kerajaan Malaysia seawal satu tahun setengah lalu, pada bulan November 2018, sehingga paling terkini pada 4 Februari 2020.

"Sehingga sekarang NFCorp tidak dapat kelulusan untuk membuat pembayaran balik itu, malah satu saman sivil terhadap NFCorp dan beberapa pihak telah dituntut oleh pihak peguam negara untuk pembayaran pinjaman tersebut," katanya.

Salleh berkata saman itu amat mengejutkan dan mengelirukan kerana NFCorp sudahpun setuju untuk membayar balik baki hutang seawal satu tahun setengah lalu, jika mendapat persetujuan Kementerian Kewangan.

"Saya berharap Peguam Negara dan Kementerian Kewangan akan memberi peluang yang adil dan saksama kepada pihak saya untuk menyelesaikan dan melangsaikan baki hutang pinjaman," katanya.

Kenyataan Salleh itu susulan perubahan kerajaan, yang mungkin menyaksikan pelantikan seorang menteri kewangan baru Selasa depan.

Kerajaan baru itu juga menyaksikan Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun dilantik sebagai peguam negara yang baru, Jumaat lalu.

Salleh didakwa melakukan pecah amanah berkaitan NFC tetapi dibebaskan pada 24 Nov 2015 selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments