Situasi Panik Covid19 - 800 Alat Pernafasan Sudah Order, Nurse Kontrak Ditambah

Di Itali dilaporkan doktor perlu memutuskan siapa yang dapat menggunakan alat bantuan pernafasan - mesin sokongan oksigen - berdasarkan peluang pesakit untuk terus hidup.

Ini kerana hospital di negara itu sesak dengan kenaikan mendadak jumlah kes Covid-19.

Laporan itu menyorot kepentingan "mendatarkan kenaikan graf (jangkitan)" dengan memastikan jumlah kes baru Covid-19 tidak bertambah terlalu pantas sehinggakan hospital tidak dapat mengendalikannya.

Ia juga menekankan keperluan untuk menyediakan peralatan perubatan mencukupi kerana wabak itu boleh memburuk dengan cepat.

Justeru itu, tidak menghairankan jika perhatian kini bertumpu terhadap kesiapsiagaan Malaysia dalam menangani peningkatan mendadak kes pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba (gambar, atas, tengah) hari ini ditanya pemberita mengenai jumlah alat bantuan pernafasan untuk pesakit Covid-19 di hospital Malaysia.

Jawabnya, sebanyak 926 unit ventilator disediakan bagi tujuan itu.

“152 daripada (pesakit Covid-19) tidak perlukan sokongan, bermakna tiada keperluan untuk intubasi, maka ada 142 ventilator yang dibawa. Hospital swasta mempunyai 450 unit," katanya.

Sementara itu, Adham berkata negara sudah melepasi tahap pembendungan akhir dan kini sedang berada dalam fasa mitigasi yang menumpukan kepada rawatan pesakit.

Malaysia sedang berusaha untuk menggandakan jumlah ventilator secepatnya, jelas menteri kesihatan lagi.

Kita dah pesan 800 unit ventilator dengan segera,” katanya.

Setelah dihantar, kata Adham akan menjadikan jumlah keseluruhan alat pernafasan sebanyak 1,726 unit.

Di Itali, Covid-19 telah meragut 29 nyawa dan merekodkan sebanyak 1,128 kes jangkitan pada 1 Mac lalu.

Pada hari ini, dalam tempoh lebih kurang dua minggu, kes di Itali telah meningkat secara mendadak apabila merekodkan 1,809 kematian dengan 24,747 pesakit. Sebanyak 368 kematian direkodkan dalam masa 24 jam.

Jumlah kematian yang banyak itu sebahagiannya didakwa berkaitan dengan sistem kesihatan awam di Itali yang tidak dapat menampung lonjakan kenaikan pesakit Covid-19 secara mendadak.

Berdasarkan pengalaman di China, 81 peratus kes Covid-19 cuma menunjukkan gejala tidak serius, maksudnya pesakit tidak mengalami jangkitan atau radang paru-paru.

Bagaimanapun, pesakit yang mempunyai simptom berat memerlukan alat ventilator bagi mendapatkan bantuan oksigen.

China, negara yang paling terkesan, memberi beberapa contoh terbaik sampel kesnya yang besar, 80,860 kes, dengan 3,213 orang meninggal dunia.

Susulan langkah ketat yang diambil China - malah ada menggambarkan sebagai "terlalu keras" - peningkatan kes Covid-19 di negara itu, tempat virus itu berasal akhirnya dapat dikurangkan.

Bagaimanapun, virus itu kini mula menular secara meluas di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Malaysia hari ini merekodkan 125 kes baru, menjadikan jumlah pesakit 553 orang. Semalam, terdapat 190 kes baru.

Kebanyakan kes jangkitan baru dikesan berkaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Sebanyak 14,500 rakyat Malaysia dari seluruh negara berkumpul di masjid itu dan kemudiannya kembali ke negeri masing-masing.

Bagaimanapun, perhimpunan dan pergerakan orang ramai bermakna virus itu telah menyebar ke beberapa negeri.

Situasi hidup dan mati

Kini, Malaysia mempunyai 12 pesakit yang memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan. Ini menunjukkan peningkatan daripada sembilan semalam dan lima pada hari berikutnya.

Hari ini, gabungan persatuan perubatan juga menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas untuk "mendatarkan graf jangkitan".

“Jika peningkatan kes di Malaysia mendadak secara serentak, hospital akan mempunyai masalah.

“Kita tidak mahu rakyat Malaysia terpaksa melalui proses rakyat Itali, di mana peningkatan mendadak dalam kes sehingga kecoh dan terpaksa membuat keputusan yang menyedihkan tentang hidup dan mati susulan sistem kesihatan yang lemah,” katanya gabungan organisasi itu.

Kenyataan itu ditandatangani lebih 10 persatuan perubatan, antaranya Presiden Persatuan Penjagaan Rapi Dr Mohd Basri Mat Nor, Presiden Kolej Doktor Perubatan Kesihatan Awam, Dr Sha'ari Ngadiman, Presiden Persatuan Doktor Kesihatan Awam Dr Zainal Ariffin Omar dan Presiden Persatuan Doktor Pakar Anestesia, Dr Marzida Mansor.

Dalam pada itu, Adham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula melaksanakan langkah-langkah mitigasi, termasuk mengenal pasti pusat kuarantin negara.

Adham juga menjelaskan bahawa 830 jururawat akan dipanggil untuk bekerja secara kontrak selama dua tahun bagi menyelesaikan masalah kekurangan staf perubatan.

"Graduan jururawat akan diletakkan di hospital serata negeri," katanya.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein hari ini turut mengumumkan bahawa beliau akan berurus dengan China bagi mendapatkan peralatan perubatan.

"Saya akan menulis secara rasmi kepada rakan sejawatan saya Wang Yi, menteri luar China, bagi permintaan ini supaya rakyat Malaysia akan diutamakan dan dilindungi bagi ancaman wabak Covid-19.

“Ini adalah satu peluang bagi menunjukkan hubungan rapat antara Malaysia dan China, seperti yang dinyatakan kedutaan negara itu dalam mesyuarat. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni,” katanya lagi

Post a Comment

0 Comments