Terkandas Diluar Negara - Pelbagai Ragam, Yang Bercuti Tu.. Hmmmm

Jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, sehingga hari ini terdapat 3,616 rakyat Malaysia yang terkandas di 58 buah negara.

"Jumlah ini semakin meningkat dari hari ke hari memandangkan kebanyakan negara terus melaksanakan kawalan sempadan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, temasuk pembatalan penerbangan antarabangsa menggunakan pesawat komersial.

"Ingin saya tekankan sekali lagi di sini bahawa terkandas itu bermaksud warganegara Malaysia yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

"Namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik Covid-19," katanya dalam sidang media di Wisma Putra, Putrajaya, hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang juga timbalan presiden MIC.

Pada 22 Mac lalu, Malaysia membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Tehran, Iran yang juga antara negara paling teruk dilanda pandemik Covid-19.

Mereka dibawa pulang dengan pesawat AirAsia yang disewa khusus untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan oleh kerajaan Malaysia.

Media melaporkan seramai 46 individu, termasuk 10 kanak-kanak yang telah berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Tehran, akan dibawa pulang dalam penerbangan khas itu.

Sebelum itu, enam penerbangan khas dilaksanakan bagi membawa pulang lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di India.

Penerbangan dengan pesawat sewa khas AirAsia jenis A320 yang menelan belanja kira-kira RM1.05 juta itu ditanggung MIC.

Kamarudin berkata, jumlah tertinggi warganegara Malaysia yang masih terkandas di luar negara adalah di India sebanyak 1,988 orang.

"Dengan pecahan sejumlah 916 orang di Chennai, 523 orang di Trichy, 328 orang di New Delhi, 173 orang di Amritsar dan 48 orang di Mumbai," jelasnya.

Penghargaan buat MIC

Bagi membawa balik mereka yang terkandas di India, Kamarudin berkata MIC sekali lagi akan membantu membawa pulang kesemua mereka.

Katanya, MIC telah bersetuju membiayai 12 penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di New Delhi, Chennai, Mumbai, Trichy dan Amritsar.

"Kerajaan Malaysia mengucapkan penghargaan atas persetujuan pihak MIC dalam memudahcara urusan membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara, termasuk di India dan Bangladesh baru-baru ini," katanya lagi.

Mengulas perkembangan terbaru usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas, Kamarudin berkata seramai 86 orang rakyat Malaysia dari Kaherah, Mesir dijangka akan tiba esok.

"Mereka akan dibawa pulang dengan penerbangan sewaan khas kerajaan Brunei, sebaik tiba di negara itu mereka akan diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan penerbangan khas dari Malaysia.

"Mengambil kira hubungan dua hala yang istimewa di antara Malaysia dan Brunei, kerajaan juga bersetuju untuk membawa pulang 142 warganegara Brunei yang terkandas di Malaysia dengan menaiki pesawat khas yang sama," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan usaha membawa pulang 18 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Maldives melalui usaha sama dengan pihak syarikat Weststar Aviation

Post a Comment

0 Comments