Sekumpulan ahli dan penyokong PKR menyerang Exco Pulau Pinang PKR, Dr Afif Bahardin, dan pengikutnya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
Afif - yang diketahui bersekutu dengan Azmin Ali - diserang ketika dia keluar dari bangunan berkenaan.
Pada masa sama pimpinan pusat PKR sedang mengadakan pertemuan di situ.
Sebaik sahaja mereka keluar dari pintu masuk ke bangunan itu, kira-kira 20 penyokong PKR mula melaungkan "pengkhianat".
Turut menjadi sasaran kemarahan mereka ialah kenderaan dipercayai dinaiki Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Bagaimanapun Afif dan Amirudin sehingga kini kekal sebagai anggota PKR.
Keadaan kecoh terus berlaku di depan Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya. Kali ini naib presiden parti itu, Tian Chua, diserang beberapa penyokong parti.
Kejadian berlaku ketika dia diiringi dari pintu bangunan ke kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ. Dia kemudian dikelilingi kira-kira 30 orang itu.
Ketika berada di pintu kereta Tian kelihatan sangat berang dan keadaan tegang di antara dia dan seorang penyokong.
Seseorang yang tidak dapat dikenali kemudian membaling botol plastik ke arahnya.
Ketika beberapa orang pengiring Tian cuba menenangkan orang ramai, seorang lelaki memukul belakang kepala bekas ahli parlimen Batu itu.
Seorang lelaki lain mula menghentak-hentak bumbung kereta. Tian kemudian dibawa masuk ke kereta dan beredar dari situ.
Sepasukan anggota polis yang berpakaian seragam mula mengawal pintu masuk utama ibu pejabat PKR ketika ketegangan meningkat di kalangan penyokong PKR dengan beberapa pemimpin parti yang pernah dikaitkan menyokong bekas timbalan presidennya, Azmin Ali.
Beberapa pemimin diserang awal petang ini oleh para penyokong terbabit dan digelar sebagai pengkhianat.
Pada masa ini, sekumpulan anggota PKR masih menunggu di depan pintu masuk, memaksa ketua wanita PKR Haniza Talhah dan timbalannya Daroyah Alwi untuk keluar dan melihat mereka.
Haniza dan Daroyah dikenali sebagai pengikut kuat Azmin ketika beliau menjadi orang nombor dua dalam parti itu.
Malaysiakini
0 Comments