Kesesakan Penjara - Mohon Tentera Buat Penjara Khas Tepi Pantai !

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menggesa para hakim untuk mengambil kira isu kesesakan penjara ketika menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia selepas Jabatan Penjara meminta mahkamah tidak memenjara pelaku kesalahan itu memandangkan kesesakan di penjara menyukarkan usaha melakukan penjarakan sosial.

Justeru, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah memaklumkan kepada semua pegawai kehakiman untuk menimbang kesan akibat kesesakan penjara seperti yang dinyatakan Tengku Maimun.

"Di samping mengambil kira peruntukan hukuman berdasarkan undang-undang sedia ada, masalah berkenaan risiko penularan wabak Covid-19 yang bakal dihadapi penjara di Malaysia boleh juga diambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan pelanggaran PKP," kata pejabat itu dalam kenyataan.

Seorang jurucakap Mahkamah Persekutuan juga berkata, mahkamah tetap mempunyai budi bicara dan pihaknya hanya membangkitkan masalah kesesakan penjara.

Semalam seorang jurucakap Jabatan Penjara juga mendedahkan kini terdapat 73,000 banduan di ruang yang sewajarnya hanya untuk 52,000 orang.

Dengan penguatkuasaan PKP, orang ramai tidak dibenarkan berada di luar rumah untuk urusan tidak penting.

Mereka yang melanggar perintah itu boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun pesalah juga boleh dikenakan pendakwaan lain seperti menghalang pegawai awam menjalankan tugas, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Semalam peguam Haniff Khatri mencadangkan agar pelaku kesalahan itu dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat yang boleh dilakukan selepas tamat PKP.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments