Perak Diserang Chikungunya... Beware Kawan..


Sebanyak 749 kompaun dan 116 notis pembersihan dikeluarkan kepada pemilik premis yang membiak Aedes sepanjang tahun ini

Sebanyak 454 kes Chikungunya direkodkan di Perak sejak Januari lalu hingga Sabtu lepas, meningkat lebih 30 kali ganda berbanding hanya 13 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming berkata berlaku peningkatan 441 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes tertinggi tahun ini, iaitu 157, diikuti Larut Matang dan Selama (109 kes), manakala Kinta (99 kes).

“Dalam tempoh sama, Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang masih aktif, termasuk satu lokaliti wabak tidak terkawal, iaitu tempoh wabak berlarutan lebih 14 hari di Kinta.

Terdapat 14 lokaliti wabak terkawal, iaitu tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang dan Kinta mencatatkan 12 lokaliti serta 2 lokaliti di Kampar.

Beliau berkata, tiada kematian direkodkan akibat Chikungunya sehingga kini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati punca utama penularan jangkitan Chikungunya disebabkan indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit.

“Antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah longgokan sampah haram, lot kosong terbiar seperti premis atau rumah kosong yang tidak berpenghuni, terutamanya dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).”

Sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes ditemui semasa pemeriksaan.

Katanya, Jabatan Kesihatan dan pejabat kesihatan daerah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung jangkitan Chikungunya, antaranya pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan di premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang.

Beliau berkata, 749 kompaun dan 116 notis pembersihan dikeluarkan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 terhadap pemilik premis yang membiak Aedes setakat tahun ini.

“Selain itu, pendidikan kesihatan diberikan kepada penduduk setempat menggunakan media sosial dan siar raya semasa PKP dan ketika aktiviti kawalan dilaksanakan oleh PKD, malah aktiviti larvisid, semburan ruang termal (SRT) dan ‘semburan ultra low volume’ (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di Perak.”

FreeMalaysiaToday

Post a Comment

0 Comments