Polis Johor memburu seorang lelaki warga Singapura dikenali sebagai “Boy Setan” yang merupakan suspek utama bagi kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke republik itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki itu yang nama sebenarnya Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana kesalahan berkaitan dadah.
“Dia (suspek) ini kita percaya masih berada di Johor. Dia datang sekali sekala untuk operasi menghantar dadah dan kemudian masuk balik (ke Singapura), tetapi dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) ini, pergerakannya terhad.
“Selain itu, individu ini difahamkan adalah orang yang dikehendaki di Singapura kerana kesalahan dadah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai menyeludup dadah itu pada waktu petang di sekitar Dataran Bandaraya di sini.
Menurutnya, ini kali pertama pihaknya berhadapan dengan kes tersebut dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi suspek untuk menghubungi talian hotline polis Johor di 07-2212999 atau membuat laporan di balai polis terdekat.
Sabtu lepas, polis menangkap 2 lelaki Singapura kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.
Menurut polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), data penerbangan yang diambil daripada telefon salah seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru sebelum kembali semula ke Kranji.
Susulan maklumat tersebut, polis Singapura turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.
0 Comments