Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah membubarkan Parlimen republik tersebut bagi membolehkan pilihanraya umum diadakan pada 10 Julai 2020. Keputusan tersebut dibuat bagi memastikan Kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.
Dalam konteks negara kita, adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melakukan perkara yang sama tanpa berlengah.
Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti ini sejak merdeka.
Kemajuan, kemakmuran dan kebolehsaingan Malaysia sangat bergantung kepada kestabilan politiknya. Kestabilan politik akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial.
Keadaan semasa sangat menyukarkan Kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini.
Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa Kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.
Negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan. Ini bukan sesuatu yang sihat untuk negara.
Hanya Kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari segala cabaran besar yang bersifat ‘unprecedented’ yang sedang kita hadapi.
Negara ini adalah sebuah demokrasi berparlimen. Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain. Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik. Oleh yang demikian, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan bagi tanahair tercinta.
Dato Seri Utama
0 Comments