Seorang kontraktor memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa bekas timbalan perdana menteri itu membayar RM1.42 juta tunai kepadanya untuk ubah suai banglo beliau.
Marzuki Che Omar, pengarah syarikat pembinaan Tekad Nusantara Sdn Bhd berkata, beliau menerima tawaran untuk mengubah suai banglo di Country Heights, Kajang pada September 2018.
Katanya, beliau diperkenalkan kepada Zahid oleh seorang kawan yang dipanggilnya Said.
“Beliau (Zahid) memberitahu saya bahawa beliau mahu mengubah suai banglo itu kerana Yayasan Al Falah mahu menggunakan tempat itu untuk pengajian agama,”
Ini susulan keterangan saksi bahawa adik Zahid, Mohamad Nasae Ahmad Tarmizi, merupakan pengerusi Yayasan Al Falah.
Yayasan tersebut membayar sebanyak RM5.9 juta untuk banglo itu melalui sekeping cek daripada firma guaman Lewis & Co kepada Bee Garden Holdings Sdn Bhd.
Firma guaman berkenaan disebut dalam 27 pertuduhan pengubahan wang terhadap Zahid.
Marzuki berkata, beliau pada mulanya menyebut harga RM1.34 juta untuk kerja ubah suai itu yang dipersetujui oleh Zahid. Bagaimanapun, ia meningkat kepada RM1.42 juta kerana beliau terpaksa melakukan ubah suai tambahan sebelum menyerahkan unit itu kepada Zahid.
“Saya mengesahkan bahawa tidak ada kontrak bertulis bagi kerja-kerja yang saya buat. Saya juga tidak mengeluarkan resit untuk bayaran yang diterima,” katanya.
Beliau berkata, Zahid membuat bayaran tunai kepadanya di Surau An Nur, yang terletak bersebelahan dengan banglo berkenaan.
“Saya tidak bertanya tentang sumber dana itu,” katanya, selain menambah bahawa Zahid membuat bayaran kepadanya secara peribadi.
Peguam Zahid, Mohd Haziq Dhiyauddin Razali bertanyakan Marzuki sama ada beliau bersetuju bahawa rekabentuk banglo berkenaan kelihatan seperti sebuah sekolah agama atau madrasah. Marzuki menyetujuinya.
Seorang lagi saksi, Mohamed Husein Mohammad Annifah memberitahu mahkamah bahawa majikannya, Omar Ali Abdullah, mengarahkannya supaya mendepositkan wang tunai RM100,000 ke dalam akaun Lewis & Co 4 tahun lepas.
Beliau berkata, bank mengeluarkan 2 cek bank bagi jumlah itu selepas deposit itu dibuat.
Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada 3 dan 14 Julai.
Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang serta pecah amanah jenayah melibatkan dana yayasan keluarganya, Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuha membabitkan pelbagai projek semasa menjawat jawatan menteri dalam negeri.
0 Comments