Berkorban jika sayangkan orang Melayu - itu pesanan diberi ahli politik kanan Umno Tengku Razaleigh Hamzah kepada dua orang kuat parti berkenaan ketika ini, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Tengku Razaleigh kedua-dua mereka perlu melakukan tindakan tersebut kerana Umno dilihat 'cacat' pada pandangan rakyat buat masa ini.
Pengorbanan yang dimaksudkan ialah dengan memberikan laluan kepada orang lain dalam kepemimpinan parti tersebut.
Tengku Razaleigh yang juga pengerusi Jemaah Penasihat Umno memberitahu beliau tidak pasti sama ada Ahmad Zahid atau Najib akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Namun katanya kedua-dua ahli parlimen itu perlu melakukan pengorbanan jika mereka sayangkan orang Melayu seperti yang ditegaskan dalam Umno.
Untuk rekod Ahmad Zahid merupakan presiden Umno yang kini berdepan hampir 50 pertuduhan di mahkamah, termasuk 12 membabitkan dakwaan pecah amanah.
Najib pula berdepan puluhan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.
0 Comments