Penindasan Uighur - Amerika Rampas Rambut Palsu Dari Xinjiang



Pegawai kastam Amerika Syarikat semalam mengumumkan mereka merampas produk dibuat daripada rambut manusia yang dipercayai dibuat oleh orang Islam di kem buruh di wilayah Xinjiang, China.

Produk itu daripada hantaran 13 tan bernilai AS$800,000 daripada Lop County Meixin Hair Product Co.

Kastam AS pada 17 Jun memerintahkan barangan daripada syarikat itu akan ditahan atas sebab ia menggunakan buruh banduan dan buruh paksa, termasuk kanak-kanak.

Lop County Meixin merupakan pengeksport rambut manusia di Xinjiang yang ketiga disenarai hitamkan dalam beberapa bulan baru-baru ini kerana menggunakan buruh paksa.

Syarikat AS juga diberi amaran tentang membekalkan peralatan pengawasan untuk kegunaan pihak berkuasa di Xinjiang atau membantu pembinaan kemudahan untuk penahanan besar-besaran orang Islam dan kumpulan minoriti di wilayah itu.

Kerajaan China “masih menjalankan kempen penindasan di Xinjiang, mensasarkan Uighur, Kazakh, Kyrgyz, dan kumpulan minoriti Islam lain,” kata Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Perniagaan yang terdedah kepada perkara itu diingatkan tentang “risiko reputasi, ekonomi, dan undang-undang”.

Post a Comment

0 Comments