RM 5 Juta Kepada Rosmah (Bini Najib) - Projek Solar Hibrid Sarawak



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor diberitahu Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin menyerahkan wang tunai RM5 juta kepada isteri bekas perdana menteri itu kerana membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi projek solar hibrid di Sarawak.

Rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah, 41, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Saidi kepadanya pada Disember 2016.

Beliau (Saidi) memberitahu saya bahawa beliau telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM5 juta kepada Datin Seri Rosmah yang diserahkan melalui Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah). Pada hari sama kira-kira 10 malam, Saidi telah mengajak saya pergi ke rumah Datuk Rizal Mansor di Vista Kirana, Segambut kerana Saidi ingin memberi hadiah kepada beliau.

Saidi telah menyerahkan satu beg kertas yang saya percaya mengandungi wang tunai kepada Datuk Rizal Mansor di rumah beliau dan selepas kami beredar dari rumah Datuk Rizal Mansor, Saidi memberitahu saya bahawa dia telah memberikan wang tunai sebanyak RM500,000 kepada Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak mendapatkan projek solar hibrid daripada KPM," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Saksi pendakwaan ke-16 itu memberi keterangan pada hari ke-17 perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Rayyan Radzwill yang membacakan penyataan saksinya berkata, pada sekitar Jun 2017, Saidi memberitahunya bahawa bayaran bagi projek penyelenggaraan diesel masih belum diterima dan menurut saksi itu pada sekitar hujung Julai 2017, beliau telah diberitahu oleh Saidi melalui WhatsApp bahawa Jepak telah mendapat bayaran pertama bagi projek solar hibrid serta penyelenggaraan genset diesel berjumlah kira-kira RM63 juta.

Rayyan Radzwill yang juga pengarah syarikat Nanocarb Technology Sdn Bhd berkata setelah itu, Saidi meminta beliau menghubungi Rizal bagi mengaturkan pertemuan di antara mereka dan Rosmah kerana Saidi mahu mengucapkan terima kasih dan menyampaikan sebahagian bayaran sumbangan yang dijanjikan oleh Jepak kepada Rosmah.

Sekitar Ogos 2017, saya juga ada berkomunikasi menggunakan WhatsApp dengan Datuk Rizal untuk meminta beliau mengaturkan pertemuan di antara Saidi dan Datin Seri Rosmah, dan melalui perbualan pada 4 Ogos 2017, saya juga ada maklumkan kepada Datuk Rizal bahawa Saidi bersetuju untuk membuat bayaran sebanyak 15 peratus daripada bayaran pertama projek solar hibrid dan penyelenggaraan genset sebanyak RM63 juta.

Kemudian pada 8 Ogos 2017, saya ada membangkitkan tentang keraguan saya dan Saidi mengenai penyerahan wang RM5 juta kepada Datin Seri Rosmah yang dibuat pada Disember 2016 kepada Datuk Rizal dan Datuk Rizal telah menjelaskan bahawa wang RM5 juta berkenaan sememangnya dibawa ke kediaman Datin Seri Rosmah. Datuk Rizal telah menggunakan kiasan 'barang' untuk merujuk kepada wang bernilai RM5 juta tersebut dan Datuk Rizal didapati sedikit terkilan dengan pertanyaan saya serta mengatakan 'ini ke balasan I (saya) dapat'," katanya.

Dalam keterangannya semalam, Rayyan Radzwill berkata, Rizal memaklumkan kepadanya bahawa Rosmah meminta sumbangan RM187.5 juta iaitu 15 peratus daripada RM1.25 bilion nilai projek solar hibrid itu bagi membantu Jepak mendapatkan projek berkenaan.

Seterusnya pada 10 Ogos 2017, saksi itu berkata, Rizal memaklumkan beliau mengenai pertemuan yang diatur di kediaman Rosmah di Taman Duta yang cuma membabitkan Saidi dan Rosmah pada keesokkannya iaitu 11 Ogos 2017, namun, katanya, beliau tidak pasti sama ada berlaku pertemuan di antara mereka pada tarikh berkenaan.

Rayyan Radzwill berkata, pada 7 September 2017, beliau dan Saidi pergi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dan ternampak pemandu Saidi bernama Shamsul masuk ke dalam rumah berkenaan serta meletakkan dua beg galas berwarna hitam yang mempunyai belang oren di tepi sofa di ruang tamu rumah terbabit.

Dalam perjumpaan itu, Saidi memberitahu Datin Seri Rosmah bahawa beliau akan memberikan sedikit wang sekarang dan bayaran lain akan menyusul berdasarkan bayaran kemajuan projek. Datin Seri Rosmah sekadar mengangguk tanda setuju dan mengatakan 'Okeylah' dan beliau (Rosmah) juga tidak kelihatan terkejut dengan pemberian wang tersebut yang saya faham diberikan oleh Saidi sebagai tanda terima kasih bagi pemberian projek solar hibrid Jepak tersebut.

Selepas itu kami beredar dari rumah Datin Seri Rosmah, manakala dua beg galas yang berwarna hitam dengan belang oren yang diletakkan oleh Shamsul di ruang tamu tersebut masih berada di tepi sofa berwarna hijau semasa kami beredar.

Saya tidak tahu jumlah wang di dalam dua beg itu pada ketika itu, saya hanya tahu dua beg galas tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM1.5 juta selepas diberitahu oleh Saidi semasa kami beredar dari rumah Datin Seri Rosmah," katanya, menambah beliau ada merakam video persekitaran di dalam rumah Rosmah di bahagian ruang tamu yang mempunyai sofa berwarna hijau.

Menurut Rayyan Radzwill, apa yang beliau tahu sehingga kini, projek hibrid solar itu tidak dilaksanakan langsung oleh Jepak walaupun pembayaran awal sebanyak RM63 juta diterima oleh syarikat berkenaan daripada kerajaan Malaysia untuk penyelenggaraan genset diesel serta projek solar hibrid, dan meskipun penyelenggaraan genset diesel di sekolah-sekolah masih diteruskan, beliau berkata, projek solar hibrid tetap tidak dilaksanakan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Post a Comment

1 Comments