Dua calon Umno dan seorang calon Warisan pada pilihan raya negeri Sabah menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak dengan seorang pemimpin Umno yang diuji positif penyakit berkenaan.
Mereka adalah calon Umno di Dun Lumadan, Kamarlin Ombi; calon Umno di Dun Sindumin, Sani Miasin serta calon Warisan di Dun Sindumin, Dr Yusof Yacob, yang juga menteri pendidikan dan inovasi Sabah.
Ketiga-tiga mereka mempunyai kontak dengan anggota majlis tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii. Ketika dihubungi, Kamarlin mengesahkan bahawa mereka telah menjalani kuarantin.
Kamarlin berkata, Razlan telah ditugaskan untuk berkempen di Sindumin dan oleh itu mempunyai kontak dengan calon Umno dan Warisan tersebut.
"Dia tidak bertugas di kawasan saya, dia jaga Sindumin. Itulah sebabnya dia bertemu dengan Sani dan Yusof. Saya bertanding di Lumadan tetapi saya ada kontak dengan dia pada hari penamaan calon,"
Kamarlin berkata dia juga ada makan bersama Razlan. Bagaimanapun, katanya pemimpin tertinggi Umno yang lain tidak hadir ketika itu.
Ketiga-tiga calon berkenaan kini mesti menjalani kuarantin selama 14 hari.
Bagaimanapun, Kamarlin berkata dia tidak terlalu khuatir sekiranya kempennya terjejas kerana telah lama berkhidmat untuk rakyat di kawasannya.
"Saya telah menjadi wakil rakyat selama dua penggal. Orang-orang sudah mengenali saya.
"Oleh itu, kami sudah bersedia dari awal..saya telah melakukan yang terbaik di Lumadan," kata ketua bahagian Umno Sipitang yang juga penyandang Adun Lumadan.
Malaysiakini
0 Comments