Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar perisytiharan darurat yang disifatkannya tidak berasas.

Langkah itu menyusul tindakannya menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membatalkan perisytiharan darurat dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Jan ini.

“Saya sudah mengumumkan hasrat kami untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempertahankan Perlembagaan dan rakyat daripada penyalahgunaan kuasa amat dahsyat ini.

“Juga, pasukan undang-undang kami sudah diarah menyiapkan permohonan untuk mencabar perdana menteri dan kerajaan Malaysia atas perisytiharan darurat yang tidak berasas,” tulisnya di Facebook.

Selasa lalu, Agong mengisytiharkan darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan dikurangkan dengan berkesan.

Anwar pada Khamis lalu dilaporkan berkata, surat yang dihantar kepada semua Ahli Parlimen itu perlu disesuaikan mengikut pertimbangan wakil rakyat dan parti masing-masing.

Beliau mencadangkan semua Ahli Parlimen mengemukakan rayuan itu kepada Agong sebelum Jumaat lalu.

Hari ini, Anwar berkata, perisytiharan darurat secara semborono dan terdesak, tanpa asas rasional, menyebabkan wujud jurang antara rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata, kepercayaan terhadap Muhyiddin semakin hilang setiap hari seperti yang ditunjukkan beberapa Ahli Parlimen menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

“Bolehkah kepercayaan dirayu walaupun sudah jelas darurat ini tiada kaitan dengan memerangi pandemik berbanding berpaut kepada kuasa yang, kita perlu ingat, dicapai melalui kerajaan pintu belakang tidak sah?

“Adakah kita harus mempercayai kata-kata individu yang mengkhianati perdana menterinya, partinya (dan gabungannya), serta kepercayaan dan mandat rakyat?” soalnya.

Katanya, rakyat memerlukan pentadbiran berkesan untuk terus bertahan ketika krisis.

Presiden PKR itu turut membidas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang tidak membawa sebarang pemulihan buat negara.

Ini kerana katanya, apa yang diperlukan rakyat ialah ketelusan dan jaminan semula ketika krisis Covid-19.

“Bukan apa yang diberikan kerajaan minoriti ini. Bukan pengumuman yang dirancang secara tiba-tiba yang tidak memberikan sebarang kejelasan, tiada perancangan dan tiada simpati terhadap keperluan rakyat.”