Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil kira kedudukan ekonomi rakyat sebelum membuat keputusan yang selalu tidak konsisten, kata Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan.

Zahida berkata, pada 11 Jan KPM mengumumkan bahawa persekolahan akan dibuka pada hari ini (20 Jan) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun menjelang tarikh itu keputusan yang sebaliknya pula diambil.

"Setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan pada 11 Jan, kementerian menegaskan sekolah tetap dibuka seperti dijadualkan dengan mematuhi SOP, maka lebih rancak ibu bapa membuat persediaan persekolahan, walaupun di sesetengah kawasan, banjir belum reda.

"Mereka perlu juga membeli peralatan rumah yang telah rosak akibat banjir.

"Tiba-tiba sebelum sekolah bermula, KPM sekali lagi mengumumkan penangguhan persekolahan secara bersemuka kecuali mereka yang akan mengambil peperiksaan.

"Yang lain-lain nya disarankan mengikuti kelas secara atas talian! Apa dah jadi? Mengapa membuat flip-flop dalam masa yang singkat?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 Jan, KPM mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka dijadualkan bermula pada 20 Jan di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa Covid-19.

Menurut KPM sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

"Semua murid sekolah rendah dan murid tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021," kata kenyataan itu.

Zahida berkata, ramai ibu bapa meluahkan rasa tidak senang mereka dengan keputusan saat akhir yang diumumkan KPM.

"Bagi golangan B40 dan M40, keputusan ini sangat menyusahkan selepas ibu bapa sudah membeli barangan sekolah, bayar yuran, beli baju sekolah, kelengkapan dan macam-macam lagi walau ketika menghadapi PKP, ekonomi yang tidak menentu dan mengharungi bencana alam.

"Saya menyeru pada menteri yang berkuasa, fikirlah semasak-masaknya sebelum membuat arahan yang melibatkan rakyat, terutama golongan B40 dan M40 ini.

"Menteri-menteri tidak akan faham kesengsaraan mereka, tapi sekurang-kurangnya faktor ini harus diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan," katanya lagi.