Ahli Parlimen Damansara Tony Pua bertekad meneruskan saman terhadap Najib Razak atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam berkaitan 1MDB yang difailkan empat tahun lalu kerana bekas perdana menteri itu telah mengakibatkan kerugian kepada kerajaan dan rakyat.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata saman itu bukan bersifat peribadi dan oleh itu beliau mahu meneruskannya.

“Bukan untuk saya untuk menyelesaikan secara baik dengan Najib. Ini saman berkait kepentingan orang ramai untuk menyatakan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami kerajaan akibat tindakannya –sama ada rasuah, khianat amanah atau cuai,” kata Pua menerusi pesanan text yang dihantar kepada FMT.

Di samping itu katanya, Najib masih bertegas tidak bersalah dan tidak mahu mengaku bertanggungjawab menyebabkan penderitaan rakyat Malaysia.

“Oleh itu tidak ada sebab untuk penyelesaian dijalin. Kami akan maklumkan begitu kepada mahkamah,” katanya.

Itu respons Pua terhadap cadangan hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali kepada peguam mewaili Pua dan Najib supaya kes saman itu diselesaikan secara baik dengan proses mediasi.

Tan Cheng Leong, peguam yang mewakli Pua berkata mahkamah mencadangkan kedua-dua pihak berbincang untuk mencari penyelesaian dan jika bersetuju perkara itu akan dirujuk kepada pusat mediasi Mahkamah Tinggi untuk penyelesaian luar mahkamah.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 25 Februari untuk pengurusan kes.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari 2017 atas dakwaan Najib terbabit dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB serta menuntut antara lain ganti rugi am, faedah, kos serta relief lain yang difikir wajar oleh mahkamah.

Pua mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau Ahli Parlimen Pekan, Perdana Menteri ketika itu dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Oleh itu Najib dalam kapasti berkenaan mempunyai peranan secara langsung atau tidak langsung dalam membuat keputusan menentukan hala tuju 1MDB.