Saya terkejut membaca petikan dari buku Tommy Thomas My Story: Justice in the Wilderness. Tommy adalah salah seorang peguam yang benci saya. Tetapi sebelum saya menjadi perdana menteri semula, Tommy telah datang bersama Zainur Zakaria dan Ambiga, kedua-duanya juga pernah pada satu masa menentang saya dan Zainur telah cadangkan nama Tommy sebagai peguam negara.

Pada masa itu saya kecewa dengan sebilangan peguam negara Melayu yang bersedia untuk taat kepada Perdana Menteri (Najib Razak) walaupun disuruh melakukan sesuatu yang salah. Saya fikir ia satu perkara yang baik untuk lantik peguam pegara bukan Melayu.

Apabila saya jadi Perdana Menteri ke-7, saya putuskan untuk lantik Tommy Thomas. Saya sedar orang Melayu tidak akan suka. Tetapi peguam negara Melayu tidak bersungguh dalam profesion mereka. Saya sedia terima kritikan orang Melayu. Tetapi saya tidak dapat halang kecaman orang Melayu atas pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Secara umum saya berpuas hati dengan kerja Tommy. Dia jelaskan kepada saya bahawa tidak ada kes untuk dakwa yang dikatakan penyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelan (LTTE) ini. Saya terima penjelasan itu dan menulis kepada Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, ketika itu. Tommy buang kes tersebut. Kemarahan orang Melayu kepada saya memuncak.

Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahukan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri interim (sementara). Ini cerita karut.

Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Seri Paduka  cadangkan saya sebagai perdana menteri interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh baginda sebagai perdana menteri sementara.

Sebabnya saya letak jawatan ialah kerana parti saya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak nasihat saya untuk tidak keluar dari Pakatan Harapan kerana pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kesemua ahli telah bersetuju untuk serah kepada budi bicara saya tarikh sesuai untuk letak jawatan. Jelas mereka tidak hendak saya letak jawatan dan beri laluan kepada Anwar. Anwar dan Wan Azizah hadir dalam mesyuarat itu.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, pada hari Ahad rayuan saya untuk diberi masa sebelum buat keputusan keluar dari PH ditolak. Saya tahu apabila Bersatu bersama kumpulan PKR Azmin keluar dari PH, Kerajaan PH akan jatuh kerana hilang majoriti.

Walaupun saya merayu untuk diberi masa seminggu untuk buat keputusan, malam itu Bersatu, kumpulan Azmin dari PKR, Umno dan PAS hadir makan malam di Sheraton Petaling Jaya. 

Saya enggan hadir, kerana saya tidak dimaklum apa-apa sebelum itu. Jelas sekali Bersatu, dipimpin Muhyiddin bersetuju bentuk pakatan bersama Umno, PAS termasuk kumpulan Azmin. PH tidak lagi jadi kerajaan. Mereka tidak boleh tunggu seminggu untuk saya buat keputusan.

Saya terfikir tentang penolakan nasihat saya oleh MPT Bersatu dan penyertaan Bersatu di Sheraton. Nyata bahawa saya telah hilang keyakinan dari Bersatu dan oleh sebab itu saya harus letak jawatan sebagai pengerusi parti. Jika saya letak jawatan sebagai pengerusi, saya juga tidak lagi mewakili parti dalam PH. Jadi saya perlu juga letak jawatan sebagai perdana menteri.

Setelah diberitahu kepada pemimpin PH, saya menjangka akan mengadap Yang di-Pertuan Agong di sebelah tengahari. Saya percaya Seri Paduka telah terima surat peletakan jawatan saya semasa pertemuan itu. Pada awalnya baginda  menolak peletakan jawatan saya. 

Saya kekal dengan pendirian saya dan kemudian Al-Sultan Abdullah terima keputusan itu. Tetapi Seri Paduka minta saya jadi perdana menteri sementara.

Yang di-Pertuan Agong tidak cadangkan nama lain, pastinya bukan Wan Azizah, timbalan perdana menteri (TPM). Saya tidak tawar diri tetapi tidak kena jika saya menolak cadangan Seri Paduka.

Pada masa itu Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh rentetan pengumuman Muhyiddin mengeluarkan Bersatu dari PH di sebelah tengahari. Wan Azizah sebagai TPM tidak boleh ambil alih jawatan kerana PH bukan lagi kerajaan. Juga tidak ada satu pun ahli PH boleh ambil alih daripada saya.

Yang di-Pertuan Agong meminta 222 ahli Parlimen namakan perdana menteri baru yang punyai sokongan majoriti ahli. Seri Paduka mahu mereka buat pilihan dengan tandatangan akuan bersumpah di hadapannya.

Ini mengambil masa selama dua hari dengan Al-Sultan Abdullah menyaksi ahli Parlimen menamakan calon dan tandatangan akuan tersebut.

Saya tidak menamakan diri sebagai calon tetapi saya telah jangka akan menang. Seperti dinyatakan di atas, Majlis Presiden PH telah putus menyerahkan kepada saya bila masa untuk saya letak jawatan. Sebaliknya Hamzah Zainuddin yang merancang kejatuhan PH telah memperoleh akuan bersumpah dari semua ahli parlimen Umno dan PAS untuk sokong saya sebagai perdana menteri.

Saya fikir kedudukan saya telah diperkuat memandangkan kesemua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong saya. Tetapi rancangan Hamzah ialah menjadikan saya ketua kepada pakatan baru yang dianggotai Umno, PAS dan Bersatu. Saya masih lagi akan jadi perdana menteri dan ini akan pengaruhi saya untuk tinggalkan PH.

Tetapi ahli parlimen PH tidak namakan saya sebagai calon mereka semasa tandatangan akuan bersumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Anwar yakinkan mereka yang dia mendapat sokongan ahli parlimen Sabah dan Sarawak dan bersama ahli parlimen PH, memperoleh majoriti untuk jadi perdana menteri. Dengan itu mereka namakan Anwar sebagai calon PH.

Hakikatnya dia hanya disokong DAP, Amanah dan kumpulannya dalam PKR. Mereka berjumlah 92. Saya cuma mendapat 62 sokongan. Jadi kami berdua kalah.

Semasa Muhyiddin dinamakan sebagai perdana menteri, dia tidak dapat sokongan majoriti. Tetapi setelah dilantik dia tawar jawatan kabinet kepada ahli yang telah sokong saya. Mereka beralih sokongan dan Muhyiddin mendapat lebihan dua majoriti.

Semasa Tommy Thomas jadi peguam negara, hubungan kami baik. Dia akan berjumpa saya untuk isu-isu utama. Saya juga percaya dan pertahan dia ketika dikecam orang Melayu. Tempoh khidmatnya hampir tamat. Saya cadangkan anugerah Tan Sri untuk dia.

PAS tidak pernah secara langsung minta untuk dia digugurkan. Tetapi saya telah terima banyak kecaman kerana dia, dan saya fikir dia tidak perlu lagi disambung perkhidmatan setelah tamat.

Tetapi apabila saya letak jawatan sebagai PM dia datang berjumpa saya untuk beritahu yang memandangkan saya yang lantik dia dan saya bukan lagi PM maka dia juga rasa perlu letak jawatan.

Tulisannya berkenaan peletakan jawatan saya cukup hebat. Saya selalu dilabel diktator oleh pembangkang ketika jadi perdana menteri. Tak mungkin pembangkang akan puja saya. Itu bukan sifat pembangkang. Tetapi saya letak jawatan pada 2003 kerana rasa terlalu lama jadi PM. Diktator biasanya tidak akan letak jawatan. Tapi sudah pasti yang menentang saya tidak akan berhenti mendakwa saya diktator.

Saya tidak ingin bosankan dengan berjawatan terlalu lama. Pada 2020 saya letak jawatan sebagai pengerusi Bersatu bukan atas kehendak saya, tetapi parti telah hilang kepercayaan kepada saya. Saya juga yakin PH sudah hilang majoriti dan tidak boleh lagi jadi kerajaan. Saya juga letak jawatan perdana menteri. Sebenarnya tak perlu pun letak jawatan kerana kejatuhan kerajaan PH bermakna saya bukan lagi PM.

Berkenaan kabinet pula, apabila PH hilang majoriti, kabinet juga tidak dapat kekal. Perkara 43 (4) Perlembagaan menyebut “Jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ini berbeza dengan 1969, apabila Perikatan punyai majoriti. Ia tidak ditumbangkan seperti PH. Tunku Abdul Rahman dijangka akan jadi PM. Tetapi darurat diisytihar, MAGERAN ditubuh dan dipimpin oleh Tun Razak Hussein. Kemudian Tunku letak jawatan dan Tun Razak dilantik sebagai PM. Dia masih punyai majoriti kerana Perikatan telah menang dalam pilihan raya.

Begitu juga Barisan Nasional (BN) masih punyai majoriti apabila Hussein Onn putuskan untuk tidak mahu bertanding dan saya jadi presiden Umno dan perdana menteri.

Semasa saya letak jawatan pada 2020 PH telah hilang majoriti dan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh terus lantik Wan Azizah, TPM sebagai perdana menteri. Seri Paduka juga tidak meminta Wan Azizah menjadi perdana menteri interim.

Sebenarnya tidak ada peruntukan untuk perdana menteri interim. Saya terima jawatan itu kerana proses pemilihan oleh 222 ahli parlimen mengambil masa yang lama. Negara perlukan ketua kerajaan sementara. Setelah ahli parlimen pilih perdana menteri baru, pelantikan saya terhenti. Tetapi ahli parlimen tidak berikan majoriti jelas, Anwar peroleh 92 manakala saya 62 undi.

Ya. Peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak hantar surat peletakan kabinet. Tetapi apabila Kerajaan PH tumbang, tidak ada alasan untuk kabinet kekal. Ia terbubar bersama Kerajaan.

Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran Perdana Menteri. Kerajaan PH telah tumbang. Yang di-Pertuan Agong tidak boleh lantik Wan Azizah, TPM sebagai pemangku PM. Sama seperti saya, dia juga tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama kumpulan Azmin dari PKR. Samalah juga dengan kabinet.

Sebagai Perdana Menteri Interim tugas saya ialah untuk menubuh kerajaan. Ahli politik sibuk bercakap tentang kepentingan parti mereka, bukan tentang negara.

Saya berpendapat kita perlu lupakan tentang parti dan fikir tentang negara. Oleh itu saya beritahu kepada semua ketua parti kita perlu ada kerajaan perpaduan dan lupakan agenda peribadi. Kita juga perlu bawa bukan ahli politik ke dalam kerajaan.

Saya masih ingat dengan jelas Tun Razak, Pengerusi MAGERAN, cuba untuk bawa kesemua parti pembangkang ke dalam kerajaan. Dia berjaya bawa bersama Gerakan, PAS dan SUPP. Tetapi DAP tolak. Masih dia rasa berhak untuk namakan perikatan baru yang dikenali sebagai Barisan Nasional.

Saya fikir kita perlu perkara yang sama. Tetapi saya gagal kerana pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dakwa saya mahu jadi diktator. Dia sokong Anwar sebagai calon PH. Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi. Bayangkan bagaimana halatuju negara jika semua parti meletakkan negara ini sebagai matlamat utama.