Aktivis dan pereka bentuk bebas Fahmi Reza ditahan polis di rumahnya petang tadi.

Peguam Fahmi, Yohendra Nadarajan, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 7 petang dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Setakat jam 9 malam ini, Fahmi masih disoal siasat dan akan bermalam di lokap IPD Dang Wangi.

"Permohonan reman akan dibuat di IPD Dang Wangi jam 10 pagi esok," kata Yohendra ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut peguam terbabit Fahmi tangkapan ke atas Fahmi dibuat ada kaitan dengan hantaran dibuat aktivis terbabit mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Difahamkan selain disiasat mengikut Akta Hasutan, Fahmi juga berdepan dengan peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Yohendra berkata tujuh anggota polis pergi di rumah Fahmi untuk membuat tangkapan berkenaan.

"Apabila saya sampai, polis memecahkan pintu rumah untuk menangkap Fahmi," katanya.




Menurut Yohendra polis memecahkan pintu rumah tersebut selepas Fahmi enggan membukanya kerana mahu menunggu peguam sampai terlebih dulu.

Memang sering menarik perhatian ramai dengan siri rekaan satira serta kritikal terhadap kerajaan serta ahli politik, Fahmi baru-baru ini menghasilkan karya dalam isu sohor kini #DengkiKe.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan tangkapan ke atas Fahmi.

Dia juga berkata setakat ini Fahmi ditahan di IPD Dang Wangi namun siasatan dijalankan oleh pegawai Bukit Aman.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata dia tidak mendapat maklumat mengenai kerosakan pintu rumah Fahmi yang didakwa dilakukan anggota polis.

"Saya tak tahu, belum terima sebarang maklumat setakat ini," katanya ketika dihubungi malam ini.