Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak bagi memastikan isu liputan internet di negeri itu ditangani secepat mungkin.

Ia susulan laporan media pada 2 Ogos lalu yang menyebut seorang pelajar perempuan meninggal dunia akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan internet di Jalan Julau-Nanga Entabai, Sarikei.

Saifuddin dalam catatan di Facebook turut menzahirkan simpati dan takziah kepada keluarga remaja berkenaan.

Beliau berkata, di kawasan kejadian, sebuah menara baharu sedang dalam proses pembangunan oleh pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Katanya, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pula, sebanyak 22 menara baharu dijangka dibina di daerah Julau bermula pada akhir suku keempat tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir suku keempat 2022.

“Selain pembinaan menara komunikasi, kerja-kerja naik taraf rangkaian kepada 4G juga sedang dijalankan di 19 stesen pemancar di sekitar daerah Julau sehingga penghujung tahun ini.

“Projek Jalur Lebar Melalui Satelit (Wifi VSAT) akan turut dilaksanakan di 18 lokasi di sekitar daerah Julau. Projek ini dijangka mula dilaksanakan bermula September dan akan siap sepenuhnya pada Disember ini,” katanya.

“Adalah diharapkan pelaksanaan pelbagai inisiatif ini akan dapat membantu penduduk di Julau untuk melaksanakan aktiviti harian dengan lebih lancar selain meningkatkan taraf hidup mereka dalam mengharungi era digital,” katanya lagi.

Beliau berkata, ketika ini, sejumlah 12 menara komunikasi siap dibina di bawah dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kelolaan MCMC dan beroperasi sepenuhnya di daerah Julau manakala dua lagi menara dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada suku pertama 2022.

Isnin lalu, seorang pelajar perempuan maut manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal yang ditunggang mereka dilanggar lari oleh sebuah kenderaan ketika sedang mencari liputan internet di Jalan Julau-Nanga Entabai di Sarikei dekat Sibu.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam@Sulin Brayun berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa dikenali sebagai Kemalia Fran George, 17, sedang membonceng motosikal yang ditunggang rakan lelakinya Feisyia Erwin Jeffery, 20 tahun