Ugutan Bunuh Diri Selepas Mahu Bakar Isteri

Seorang lelaki warga Malaysia dipenjara dua tahun, dua bulan dan enam minggu di Mahkamah Daerah Singapura hari ini kerana mengugut membunuh isterinya selepas menyimbah wanita itu dengan petrol, melarikannya dan mengancam membakarnya.

Murugan Nondoh, 40, mengaku salah minggu lalu atas tuduhan melarikan mangsa, mengugut dan menyerangnya, menurut laporan Straits Times.

Ketika menjatuhi hukuman Hakim Kessler Soh berkata, tertuduh telah dengan beraninya melarikan isterinya di tempat awam, iaitu ketika mangsa berjalan keluar dari lokasi itu.

Pasangan itu dilaporkan berkahwin pada 2007 dan tinggal di Johor Bahru, namun hubungan mereka menjadi keruh malah Murugan turut mendera Krishnaveny.

Mereka akhirnya berpisah pada Mac 2019 selepas Murugan menuduh Krishnaveny mempunyai hubungan sulit menyebabkan wanita itu memfailkan permohonan cerai dan berpindah dari rumah mereka.

Murugan kemudian dimaklumkan Krishnaveny mendapat kerja di Singapura dan mula mengganggunya di pejabatnya di Woodlands.

Pada 2 Julai 2019, Murugan yang menaiki motosikal melarikan Krishnaveny ketika wanita itu keluar dari tempat kerjanya. Dia memaksa wanita itu mengikutnya dengan mengancam membakarnya selepas menyimbahnya dengan petrol.

Ketika kejadian itu, Krishnaveny sedang berbual dengan anak saudaranya menggunakan telefon bimbit, menyebabkan kejadian berkenaan didengar gadis itu yang terus memaklumkan ibu mereka sebelum mereka menghubungi polis Singapura.

Sementara itu, Murugan membawa mangsa menaiki motosikal selama lima jam dan sepanjang tempoh itu dia mengancam akan membakar Krishnaveny serta membunuh diri selepas itu.

Krishnaveny berjaya memujuk Murugan membawanya pulang ke Malaysia menyebabkan lelaki itu membawa mereka ke arah Johor.

Polis yang sedia menunggu di Tuas kemudian berjaya menahan Murugan lalu menyelamatkan Krishnaveny.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments