HFMD, Sabah Catat Tertinggi Gais! Beware Semua!



Sabah mencatat peningkatan kes jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang tinggi dengan sebanyak 2,834 kes direkodkan dari Januari hingga 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata jumlah itu jauh berbeza berbanding hanya 55 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, lima daerah mencatat kes tertinggi setakat ini iaitu Tawau (435 kes), Sandakan (387 kes), Lahad Datu (308 kes), Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes).

Beliau bagaimanapun, berkata tiada kes kematian disebabkan HFMD dilaporkan di Sabah setakat ini.

"Sebanyak 93.1 peratus kes adalah kanak-kanak yang berumur kurang daripada enam tahun. Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Rose Nani berkata, penyakit HFMD kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang menyebabkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.

Katanya, penyakit itu disebabkan virus (kumpulan enterovirus) HFMD yang merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam daripada mereka yang dijangkiti.

"Kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkit HFMD dan selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama," katanya.

Berikutan, situasi HFMD di Sabah ketika ini, katanya, JKNS mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk melakukan siasatan segera ke atas kes yang dilapor dan menjalankan promosi kesihatan serta pemeriksaan menyeluruh premis yang berisiko seperti taska dan tadika.

Langkah itu, katanya bagi menilai tahap kebersihan dan amalan disinfeksi peralatan serta perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak supaya bebas daripada risiko jangkitan HFMD.

"JKNS juga mengarahkan penutupan premis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk kerja-kerja pembersihan premis bagi memutuskan rangkaian jangkitan HFMD sekiranya terdapat kes positif HFMD di seuatu premis.

"Kita turut mengadakan perbincangan dengan pihak pengendali taska dan tadika untuk memberikan khidmat nasihat sepertimana dalam buku Garis Panduan HFMD dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Selain itu, JKNS juga menggalakkan amalan kebersihan diri dalam kalangan masyarakat dengan mengadakan promosi kesihatan di pasar raya dan tempat permainan kanak-kanak terutama dalam meningkatkan disinfeksi secara berkala," katanya.

Dr Rose Nani turut menekankan tanggungjawab ibu bapa dalam pencegahan HFMD dengan memastikan langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu dilaksanakan sepanjang masa.

-BH

Post a Comment

0 Comments