Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka kerana gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib dan Nazifuddin ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan itu semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif.
“Permohonan penangguhan prosiding kebankrapan itu dibuat bagi membolehkan rayuan kedua-dua anak guam saya berhubung penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memerintahkan mereka membayar tunggakan cukai tersebut diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya dan menambah mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 4 Okt ini.
Prosiding itu turut disertai Peguam Hasil Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.
Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Feb 2021 terhadap Najib dan Nazifuddin selaku penghutang.
Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan 5% kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Feb 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.
Nazifuddin pula perlu membayar RM37.6 juta dengan 5% kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 6 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM1.1 juta serta kos RM10,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM38,758,370.93.
Dua Mahkamah Tinggi di sini, telah membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi memperoleh semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.
Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu, namun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus berkenaan sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.
Pada 10 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran merayu kepada Najib dan Nazifuddin berhubung penghakiman terus diperoleh LHDN dalam kes tunggakan cukai tersebut.
1 Comments
ini semua pengkhianat negara, rakyat marhaen yang terhutang dengan LHDN di kejar/tuntut oleh mereka malah pasport pun disenaraihitam
ReplyDelete