Elephantiasis - Penyakit Kaki Gajah Yang Disebarkan Nyamuk



Mungkin sedikit sukar untuk dipercayai tetapi penyakit yang menyebabkan kaki menjadi besar seperti gajah ini sebenarnya disebabkan oleh organisma yang jauh lebih kecil. Dari sudut teknikalnya, penyakit kaki gajah ini bukanlah disebabkan oleh nyamuk, ia sebenarnya disebabkan oleh jangkitan cacing parasit. Akan tetapi, nyamuk memainkan peranan penting dalam penyebaran jangkitan ini.


Beban penyakit kaki gajah yang ‘berat’ di peringkat global

Nama lain keadaan ini adalah untut manakala dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai Elephantiasis. Terma saintifik penyakit ini pula adalah filariasis limfatik. Walaupun sudah kurang dilihat dan dilaporkan, Pertubuhan Kesihatan Dunia melaporkan bahawa ia masih menjadi masalah kesihatan awam yang membabitkan 120 juta penduduk dari 80 buah negara. Daripada negara-negara tersebut, satu pertiga daripada penghidap adalah dari India manakala satu pertiga yang lain adalah dari benua Afrika. Baki mereka yang terjejas akibat penyakit ini adalah dari Asia Tenggara, Pasifik dan Amerika.

Di Malaysia, terdapat 8 buah negeri yang mempunyai kawasan-kawasan endemik filariasis iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Kesemua negeri tersebut diberi tumpuan yang khusus dalam Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan. Program ini adalah di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Secara amnya, penyakit ini lazimnya berlaku dalam komuniti orang asli atau mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang secara amnya tidak bersih.


Cacing pita parasit

Penyakit kaki gajah atau filariasis limfatik ini disebabkan oleh jangkitan cacing parasit berbentuk seperti pita (filaria). Spesies cacing filaria yang terdapat di Malaysia adalah Wuchereria bancrofti dan juga Brugia malayi. Cacing ini dipindahkan kepada manusia (pada tahap mikrofilaria) menerusi gigitan nyamuk Anopheles dan juga nyamuk Mansonia betina. Jika dalam suatu kawasan itu terdapat seseorang yang menghidap penyakit ini, lazimnya akan ada orang yang bakal mengalami nasib yang sama. Ini kerana kedua-dua spesies nyamuk tersebut akan mengigit individu yang menghidap filariasis limfatik dan akan mengambil sekali sedikit mikrofilaria daripada individu tersebut untuk disebarkan kepada orang lain.

Setelah berada dalam badan manusia, cacing ini akan melengkapkan kitaran hidupnya dan menjadi dewasa. Ia hidup dalam sistem limfatik badan yang terdiri daripada rangkaian saluran limfa dan juga nodus-nodus limfa. Struktur dalam sistem ini mengimbangkan cecair di antara tisu badan dan salur darah. Selain itu, ia juga memainkan peranan yang penting dalam sistem pertahanan badan. Walaupun jangka hayatnya hanyalah sekitar 4 hingga 6 tahun, cacing ini akan menghasilkan berjuta-juta mikrofilaria (yang hidup dalam sistem sirkulasi badan) sebelum ia mati.

Bagaimana jangkitan cacing kecil menyebabkan kaki gajah
Ketika jangkitan akut, simptom am yang berlaku adalah demam, kesejukan, pening kepala dan kelesuan. Simptom setempat pula melibatkan gejala seperti pembengkakan, demam, radang kemerahan dan rasa sakit melampau pada kawasan yang dijangkiti.

Keradangan yang berlaku semasa serangan akut ini akan merosakkan saluran-saluran limfa yang kecil di dalam kulit dan mengurangkan keupayaan kulit untuk menyerap cecair. Selain itu, ia juga akan menyebabkan kerosakan kepada kulit. Dalam proses pemuihan, kulit yang terjejas itu akan menjadi keras dan tebal akibat proses yang dikenali sebagai ‘fibrosis’. Dengan setiap serangan akut, kitaran ini akan berterusan dan kulit akan menjadi semakin tebal. Dengan masa pembengkakan limfa (limfaoedema) akan berlaku akibat daripada saluran limfa yang kini telah tersumbat dan tidak boleh berfungsi dengan baik (akibat kewujudan cacing dewasa). Akhirnya, simptom klasik kaki gajah akan mula terzahir.

Kerosakan permukaan kulit ini juga akan menyebabkan luka dan/atau rekahan pada permukaan kulit. Ini menyebabkan wujudnya lubang nanah yang menjadi titik masuk untuk jangkitan bakteria sekunder. Jangkitan bakteria sekunder pula berupaya untuk menyebabkan komplikasi lain seperti sepsis.

Jika anda risau akan risiko menghidap penyakit ini, khususnya jika anda tinggal di kawasan luar bandar, pastikan anda kediaman anda bersih dan bebas daripada kawasan pembiakan nyamuk. Selain itu, kenakan pakaian seperti baju berlengan panjang dan seluar panjang bagi mengelakkan diri daripada terdedah kepada gigitan nyamuk.

Post a Comment

0 Comments