Kerajaan akan mengkaji konsep ‘diyat’ sebagai suatu hukuman alternatif terhadap hukuman mati mandatori melibatkan 1,342 banduan akhir.
Diyat merujuk bayaran pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu antara cadangan diterima pihaknya jika hukuman mati mandatori dimansuhkan kelak.
“Saya belum lagi berbincang secara mendalam dengan para ilmuan, mufti-mufti, pakar-pakar namun sesi libat urus akan dibuat dengan kesemua mereka sama ada boleh atau tidak melaksanakan secara menyeluruh atau kepada kelompok tertentu sahaja.
“Kalau kelompok tertentu apa akan jadi kepada pihak lain? Jadi kita kena adil kepada semua dalam mengambil tindakan dan banyak lagi perkara perlu kita pertimbangkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Ketika ini, kerajaan memutus menubuhkan tribunal bagi mengkaji 1,342 kes banduan akhir, sebelum pindaan rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan di Parlimen.
Bagaimanapun, jelasnya, terdapat pandangan bahawa konsep diyat hanya mampu dilunaskan golongan berada sahaja dan ia tidak akan membantu semua golongan masyarakat.
Justeru, Wan Junaidi menyatakan, ia merupakan satu bentuk diskriminasi antara golongan kaya dan miskin dan aspek pemakaian diyat kepada penjenayah bukan Islam juga turut dibincangkan dan dilihat sebagai cabaran terhadap pelaksanaan cadangan ini secara umumnya.
Pada 8 Jun, Kabinet bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan menggantikannya dengan hukuman lain yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
0 Comments