Justin Bieber - "Saya Bagaikan Dijentik Kesedaran Oleh Tuhan"


Diuji penyakit lumpuh separuh wajah akibat sindrom Ramsay Hunt, bintang pop sensasi, Justin Bieber bersikap optimis penyakitnya akan sembuh, suatu hari nanti.

Menerusi perkongsian dibuat dalam Instagram (IG) Story, beberapa jam lalu, penyanyi lagu Yummy itu mengakui, penderitaan dilaluinya menimbulkan perasaan insaf dalam diri.




"Saya ingin berkongsi sedikit perasaan saya, ketika ini. Setiap hari dilalui, saya berasakan bertambah baik.

"Melalui segala ketidakselesaan ini, saya bertemu ketenangan menerusi Sang Pencipta. Saya bagaikan dijentik kesedaran bahawa Tuhan amat mengetahui segala-galanya mengenai saya.

"Dia tahu sisi gelap yang cuba dirahsiakan dan sentiasa bersedia mendakap saya dengan penuh kasih sayang. Kesedaran seperti inilah memberikan ketenangan, sekali gus mampu mengatasi segala kekalutan dihadapi, ketika ini," 

"Saya percaya ribut melanda ini pasti akan berlalu, namun, Tuhan ada menemani saya pada saat ini," ungkap Bieber.

Sebelum ini, melalui video berdurasi tiga minit, Bieber mendedahkan keadaan matanya yang tidak dapat berkelip dengan betul dan sukar tersenyum.

Susulan itu, Bieber terpaksa membatalkan beberapa siri konsert jelajah yang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu. Malah, Bieber mengumumkan berehat seketika bagi memulihkan penyakitnya itu.

Post a Comment

0 Comments