Apa Kata Najib? Jho Low Pernah Tawarkan RM1.5b Untuk Selesaikan Pertuduhan 1MDB



Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan pernah menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

The Edge memetik sumber yang tidak dinamakan mengatakan bahawa kerajaan telah menolak tawaran itu.

Laporan itu yang disiarkan malam tadi juga mendakwa bekas peguam negara Mohd Apandi Ali mewakili Jho Low dalam rundingan dengan kerajaan Malaysia.

Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu dia tidak mengetahui tentang perkara itu.

Jho Low dikaitkan sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB dan telah didakwa tanpa kehadiran di mahkamah AS dan Malaysia.

Dia kini dalam pelarian dan lokasinya tidak diketahui umum.

Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS telah mendakwa Jho Low dengan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.

Di Malaysia, dia dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion. Dia juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.

Pada 2020, SPRM membawa satu lagi pertuduhan terhadap Jho Low dan rakan-rakannya, kali ini didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bagi membolehkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.

Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara 2020 dia mendakwa dia hanyalah perantara dalam urusan 1MDB.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments