Pejuang berhak untuk mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri buat kali ketiga jika parti itu menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata seorang pemimpin parti.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan berkata, pihak lain tidak perlu sibuk mencampuri urusan parti itu untuk mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri.
“Kalau parti lain boleh mencalonkan bekas banduan dan penjenayah songlap duit negara sebagai calon perdana menteri maka parti Pejuang juga berhak untuk mencalonkan Mahathir sebagai calon perdana menteri.
“Pengalaman serta ilmu pengetahuan Mahathir terlalu luas hendak dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin lain di negara kita,” katanya dalam kenyataan.
Khairuddin berkata, pengalaman serta ilmu pengetahuan Mahathir terlalu luas hendak dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin lain di negara kita.
Beliau berada dalam pesada politik tanahair dari sebelum Umno dilahirkan sehingga kini dan melalui pelbagai fasa cabaran politik tanahair.
“Siapakah Anwar Ibrahim, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi tokoh lain jika dibandingkan dengan kebolehan Mahathir?“Mahathir amat layak untuk membuat ‘comeback’ sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga,” katanya.
Khairuddin berkata, Mahathir tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran.
Katanya, Mahathir boleh melakarkan semula “pelan induk”’bagi memperbaiki semua permasalahan negara ke arah membina semula ‘Malaysia Baharu.’
Bulan lalu, Mahathir berkata beliau bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 sekiranya tiada calon lain yang sesuai untuk bertanding di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, pada Mac, Mahathir berkata beliau telah memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.
FMT
0 Comments