Pelawak Hina Agama, Afdlin & Syamsul Ubah Pendirian Menyokong Crackhouse Comedy Club Ditutup!

crackhouse

Pelawak Datuk Afdlin Shauki yang sebelum ini lantang membantah penutupan kelab komedi Crackhouse Comedy Club mula berubah pendirian apabila semakin banyak pendedahan dan bukti-bukti penghinaan terhadap kesucian agama berlaku di kelab berkenaan

Menerusi satu hantaran dalam Facebook, Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan bertegas tidak mahu lagi berkompromi dengan sebarang perbuatan menghina agama di pentas lawak.

Berdasarkan info-info yang terkini yang telah diberi kepada saya oleh rakan-rakan dan seperti mana yang saya terangkan semalam menerusi ‘live’ bersama Amin Idris, saya dengan sekeras-kerasnya terus mengecam apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

Walaupun hanya segelintir, jika berterusan, akan menjadi barah. Perbuatan-perbuatan menghina agama yang dibanggakan membuatkan saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club!,
Sokongan saya sebelum ini hanya bertujuan untuk kesinambungan rezeki pelawak-pelawak yang kebanyakannya mempunyai lawak yang berkualiti dan tak menghina sesiapa.

Sekarang ini nasihat saya pada pelawak-pelawak stand up (komedi berdiri), cari dahulu tempat alternatif untuk mencari rezeki pasal benda ini takkan selesai awal dan seharusnya kita biarkan pihak berkuasa buat kerja mereka dan jika mereka disabit kesalahan, mereka mestilah menerima pembalasannya.

Saya mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki kalian terus murah. Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima dan pada ketika ini, informasi ini membuatkan saya tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka.

Menerusi hantaran status dimuat naik, Afdlin, 51, turut berkongsi tangkap layar entri dikongsi pengasas premis berkenaan menyaksikan seorang wanita Muslim dipelawa membuka penutup minuman beralkohol dalam satu persembahan di kelab berkenaan

Manakala Pengarah filem pecah panggung, Syamsul Yusof kini menyokong sepenuhnya penutupan Crackhouse Comedy Club yang terpalit beberapa siri insiden menghina agama dan bangsa, baru-baru ini.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof berkata, keputusan tersebut dibuat selepas benar-benar memahami keadaan sebenar yang terjadi.

Setelah jelas keadaan sebenar, dengan bukti dan fakta, saya sokong penuh kelab ini ditutup.

Jangan kamu sesekali pernah terfikir menghina Islam. Lailahaillallah Muhammadarrasulullah,” katanya menerusi satu hantaran status terbaharu dalam Instagram.

Terdahulu, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mengambil pendekatan bahawa penutupan premis yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur masih boleh dibincangkan.

Mungkin saya tidak sependapat tentang cadangan untuk menutup terus Crackhouse Comedy Club dan masih boleh dibincangkan.

Namun, amaran keras dan undang-undang harus diperketat,” katanya.

Semalam, Syamsul hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi, pelawak, Sharol Shiro, beberapa penyokong serta ahli Semboyan Malaysia untuk membuat laporan terhadap pemilik kelab berkenaan.

Kosmo!

Post a Comment

0 Comments