Tesco di West Dirby, Liverpool yang kehilangan 50,000 pound (RM264,700) sebulan, menjadi premis pertama melancarkan skim perintis kepada pencuri semasa peningkatan inflasi di seluruh dunia.
Usaha itu mendapat sokongan pihak polis yang akan membantu ‘pencuri menjalani kehidupan semasa krisis kos sara hidup yang membelenggu mereka’.
Menerusi skim itu, individu yang ditangkap akibat mencuri barangan keperluan asas seperti makanan tidak akan ditahan oleh pihak polis.
Sebaliknya, mereka akan dihantar ke bank makanan tempatan dan perkhidmatan nasihat hutang oleh staf keselamatan Tesco.
Pihak Tesco akan melatih pengawal keselamatan dan kakitangan mereka mengesan sebarang tanda-tanda kecurian terdesak dan bertindak balas sewajarnya.
Papan tanda akan dipasang di sekeliling kedai dengan memberikan butiran perkhidmatan sokongan.
Beberapa bulan lalu, Ketua Pemerhati Polis memberitau setiap pegawai perlu menggunakan ‘budi bicara’ bagi memutuskan sama ada perompak perlu didakwa susulan kadar kecurian yang semakin meningkat awal tahun ini.
Cadangan supaya tiada tindakan diambil terhadap pencuri mencetuskan tindak balas negatif dari industri peruncitan yang menyifatkan sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.
Ahli Parlimen Parti Buruh, Ian Byrne yang merupakan individu di sebalik idea tersebut berkata, skim tersebut bukan bermaksud menggalakkan individu ‘carte blanche’ dengan mencuri barang di semua kedai di seluruh negara.
“Kes kecurian seperti ini adalah perbuatan terdesak. Ramai ibu dan bapa yang tidak pernah terfikir mereka terpaksa mencuri di kedai.“Apa yang saya mahu adalah menghentikan jenayah dalam kelas masyarakat,” katanya.
Pesuruhjaya Polis, Merseyside Emily Spurrell pula menegaskan tiada mana-mana individu dalam masyarakat perlu mencuri makanan untuk disediakan kepada kanak-kanak.
“Ia adalah satu dakwaan terkutuk terhadap legasi kerajaan ini. Fokus kami adalah sentiasa untuk mencegah jenayah.
“Kami sudah terlibat dengan industri peruncitan dan rakan kongsi keselamatan komuniti bagi memastikan individu yang terdedah mendapat sokongan sepatutnya,” katanya.
0 Comments