Tatmadaw, Tentera Kejam Myanmar - Menembak Siapa Saja Melintas! Kanak-Kanak & Orang Tua Tidak Terkecuali


Sekumpulan askar Myanmar membuat pengakuan kali pertama bahawa tentera negara  itu yang dikenali sebagai Tatmadaw, bertanggungjawab membunuh, menyeksa dan merogol orang awam, lapor akhbar Saudi Gazette. Pengakuan mereka dibuat dalam wawancara eksklusif bersama Badan Penyiaran Britain (BBC).

Menerusi wawancara itu, mereka memberikan laporan terperinci tentang pencabulan hak asasi manusia yang didakwa dibuat atas arahan pihak atasan.

Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Koperal Maung Oo. Dia menganggotai batalion yang membunuh orang awam ketika mereka bersembunyi di dalam sebuah biara pada Mei lalu.

“Mereka (pegawai atasan) mengarahkan saya untuk menyeksa, merompak dan membunuh orang awam.

“Kami diarah  untuk mengumpulkan semua lelaki dan menembak mati mereka. Perkara paling menyedihkan ialah kami terpaksa membunuh orang tua dan wanita,” kata Maung.

Kumpulan tentera yang berpaling tadah kini berada di bawah perlindungan unit tempatan Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF). PDF merupakan rang­kaian kumpulan militia awam yang berjuang untuk memulihkan demokrasi di Myanmar.

Tatmadaw merampas kuasa daripada kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi dalam kudeta pada tahun lalu. 

Junta kini berusaha untuk menumpaskan pemberontakan awam bersenjata yang cuba mencabar kuasa pemimpin diktator Jeneral Ming Aung Hlaing.

Pada 20 Disember tahun lalu, tiga helikopter mengelilingi Kampung Yae Myet di tengah Myanmar. Sekumpulan askar diturunkan dan mereka mula melepaskan tembakan rambang.

Pasukan tentera itu yang dibahagikan kepada tiga kumpulan berasingan, menembak lelaki, wanita dan kanak-kanak secara sembarangan.

“Arahannya adalah untuk menembak apa sahaja yang anda lihat,” kata Maung dari lokasi yang tidak didedahkan di bahagian terpencil hutan Myanmar.

“Kami juga mendapat arahan untuk membakar setiap rumah besar yang ada di kampung tersebut,” katanya.

Pertubuhan hak asasi Myanmar,  Witness  yang menjejaki pelanggaran hak asasi manusia mengesahkan lebih 200 laporan tentang kampung dibakar dengan cara demikian sejak 10 bulan lalu.

Ini bukan kali pertama Tatmadaw  menggunakan dasar bumi hangus. Ia dilaporkan secara meluas terhadap orang Ro­hingya pada 2017.


Post a Comment

0 Comments