Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata partinya tidak mampu meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas berdepan berbagai skandal, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, semua parti termasuk Barisan Nasional (BN) akan berdepan kesukaran susulan banyak faktor, termasuk ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.
“Saya rasa pilihan raya ini satu pilihan raya yang paling sukar. Dan saya tak fikir tak ada satu parti pun yang mendapat ‘simple majority’ (majoriti mudah), tak boleh membentuk kerajaan.“Saya rasa Umno pun berada dalam keadaan begitu apatah lagi dengan berbagai-bagai skandal, berbagai-bagai masalah yang dihadapinya,”
Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, berkata PRU15 disifatkan tidak mampu menyelesaikan masalah, malah akan menimbulkan banyak lagi masalah.
“Kita hadapi masalah bukan sahaja pandemik belum selesai, pandemik Covid-19, tetapi juga masalah kos hidup rakyat kerana inflasi yang menekan kita. Dan produktiviti kita sudah jatuh, nilai ringgit kita seolah-olah mengalami ‘free fall’ (jatuh menjunam). Jatuh dengan tidak ada halangan apa-apa,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, berkata PRU15 akan diadakan tahun ini memandangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi komitmen tidak akan melaksanakannya tahun depan.
Mohamad berkata, cuma perdana menteri tidak boleh memaklumkan bila tarikh pilihan raya akan diadakan.
Memetik Utusan Malaysia, beliau berpandangan PRU15 akan dilaksanakan sebelum Disember mengambil kira kemungkinan bencana banjir di penghujung tahun.
0 Comments